Kerajaan digesa pantau pembekal, pengilang naikkan harga barang

Fauziah (kanan) memeriksa stok barang-barang yang sampai di kedainya di Tasek di sini.
Fauziah (kanan) memeriksa stok barang-barang yang sampai di kedainya di Tasek di sini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan digesa memantau pembekal dan pengilang yang menaikkan harga produk jualan mereka menyebabkan pemborong serta peruncit turut terkesan dengan tindakan tersebut.

Seorang pemborong, Fauziah Mohamad Arib, 30, menjelaskan, pihaknya dan juga peruncit berada dalam keadaan dilema untuk tidak menaikkan harga kerana pembekal sendiri sudah menetapkan harga tinggi.

Menurutnya, bukan itu sahaja, ada kilang yang mengurangkan kuantiti produk mereka dengan menukar bungkusan baharu tetapi menaikkan harga barangan tersebut.

Beliau berkata, kebiasaannya peniaga dipersalahkan jika menaikkan harga barang dijual, sedangkan kenaikan itu sudah berlaku di peringkat pembekal.

"Kalau peniaga tidak naikkan harga, bagaimana mereka mahu buat pusingan modal. Kita minta kerajaan tolonglah pantau pembekal dan kilang-kilang ini.

"Ada juga kilang yang letak syarat tertentu untuk beli barang-barang kawalan ini tapi kami tidak boleh jual bersyarat macam gula dan minyak.

"Jadi kami tiada pilihan sedangkan pembekal boleh menetapkan syarat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

FAUZIAH
FAUZIAH

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fauziah turut mengakui penyasaran subsidi diesel memberi kesan kepada perniagaannya apabila kos operasi kini meningkat sebanyak 20 peratus.

Katanya, sehingga kini permohonan untuk mendapatkan 'fleet card' minyak diesel bersubsidi masih belum diluluskan menyebabkan perniagaannya terpaksa menanggung kenaikan kos tersebut.

Jelas Fauziah, barang-barang yang dihantar kepada pelanggan bukan sahaja di sekitar bandar raya Ipoh malah sehingga ke Cameron Higlands.

"Kebanyakan pelanggan kami ini golongan peniaga. Walaupun harga diesel meningkat, kami tidak kenakan sebarang caj penghantaran tapi sampai bila boleh bertahan itu tidak pasti.

"Kalau kami kenakan caj penghantaran, pelanggan kami pasti akan terpaksa menaikkan harga jualan mereka," katanya.

Katanya, begitu juga dengan tarif air dan elektrik yang turut meningkat.

"Kedai kami ada banyak produk sejuk beku dan sudah pastilah penggunaan elektrik tinggi.

"Jadi terpaksa kita fikir bagaimana mahu berjimat," katanya.

Sementara itu, Fauziah berkata, di sebalik peningkatan harga diesel, beberapa barangan keperluan tidak menunjukkan kenaikan seperti cili kering, bawang dan kentang malah ada barang-barang seperti telur yang turun harga.

Menurutnya, bekalan bagi barang-barang ini juga masih belum putus dan stabil sekali gus meringankan beban pengguna dan peniaga kecil.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!