13 maut di Tamil Nadu, India selepas minum arak tiruan

Sekurang-kurangnya 13 orang maut pada Rabu selepas meminum arak tiruan di negeri Tamil Nadu, India.(Gambar hiasan) Foto 123rf
Sekurang-kurangnya 13 orang maut pada Rabu selepas meminum arak tiruan di negeri Tamil Nadu, India.(Gambar hiasan) Foto 123rf
A
A
A

NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 13 orang maut pada Rabu selepas meminum arak tiruan di negeri Tamil Nadu, India.

Kematian berlaku di daerah Kallakurichi, kira-kira 250 kilometer dari ibu negeri Chennai.

Mangsa mengalami kehilangan penglihatan dan pendengaran secara tiba-tiba, sakit perut dan muntah, menurut laporan media tempatan.

Kira-kira 50 orang, sebahagian besar daripada mereka golongan miskin dengan gaji harian, jatuh sakit selepas meminum arak murah yang dijual dalam pek plastik dan ramai yang sedang menerima rawatan di hospital.

Ketua Menteri negeri, M K Stalin berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam penjualan arak haram itu.

Peminum yang tidak mampu membeli arak berjenama sering membeli arak tiruan daripada penjual haram.

Kematian akibat membeli minuman keras haram bukan perkara luar biasa di India.

Seramai 22 orang mati akibat arak beracun di daerah Villupuram dan Chengalpattu, Tamil Nadu pada Mei tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Di negeri Gujarat di barat India, yang pengambilan dan penjualan arak secara rasmi dilarang, arak tiruan membunuh 46 orang pada Julai 2022.

Pada 2019, arak haram membunuh 150 orang di negeri Assam di timur laut dan kira-kira 100 orang di negeri utara Uttarakhand dan Uttar Pradesh.


19 maut akibat strok haba di India

Dalam perkembangan berasingan, sekurang-kurangnya lima orang maut akibat strok haba di ibu kota India dan hampir 14 lagi meninggal dunia di bandar jiran Noida dalam tempoh 72 jam yang lepas, memaksa kerajaan Persekutuan mengeluarkan nasihat kepada hospital kerajaan untuk mengutamakan rawatan pesakit strok haba.

Selain itu, lebih 60 pesakit yang mengalami strok haba telah dimasukkan ke pelbagai hospital. Kebanyakan mereka dikatakan adalah buruh atau individu berusia lebih 65 tahun, kata Xinhua.

Delhi dan kawasan sekitarnya telah mengalami gelombang haba yang teruk dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan suhu sekitar 45 darjah Celsius pada waktu siang.

Sementara itu, menurut laporan agensi berita swasta ANI, operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di Delhi turut terjejas akibat cuaca panas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!