Musim panas landa AS, orang ramai cari lokasi sejuk
NEW YORK - Aiskrim, tempat berteduh, dan kolam renang menjadi lokasi tumpuan apabila musim panas bermula dengan gelombang haba yang memecahkan rekod di beberapa negeri di Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, New York turut membuka pantai dan kolam awam lebih awal kepada orang ramai semasa cuti Juneteenth pada Rabu.
Di bawah pelan kecemasan haba, New York turut membuka pusat pendinginan buat kali pertama pada tahun ini.
Chicago mencatatkan suhu 36.11 darjah Celsius di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare Chicago pada Isnin lalu sekali gus memecah rekod 35.56 Celsius pada 1957.
Suhu sekitar mencecah 32.78 Celsius pada Selasa, dengan indeks haba, yang mengambil kira suhu dan kelembapan untuk mengukur sejauh mana panas yang dirasai sekali gus mencatat 35 Celsius.
Sementara itu, ahli meteorologi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), Marc Chenard memaklumkan Detroit dan Philadelphia, serta bandar-bandar di New Hampshire, Connecticut, dan Maine juga dijangka mencatat suhu yang mungkin memecahkan rekod dalam beberapa hari akan datang. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!