'Dua ahli PPNP tidak ditahan ceroboh tanah, hanya diambil keterangan'

Zuhairi
Zuhairi
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) menyangkal tuduhan yang mengatakan dua ahlinya telah ditahan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) atas tuduhan meneroka dan menceroboh tanah kerajaan negeri.

Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab Kadir menegaskan bahawa laporan yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah tidak berasas dan hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut menyatakan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh portal berita itu tidak mempunyai pengesahan rasmi dan dibuat berdasarkan laporan serta andaian sebelah pihak sahaja.

"Saya mengesahkan bahawa memang wujud dokumen urusan antara PPNP dengan kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan berkaitan permohonan pengeluaran hasil tanaman kelapa sawit di atas tanah kerajaan yang diceroboh.

"Penanaman kelapa sawit itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak sekian lama dan gagal ditangani.

"Namun, PPNP telah mengenal pasti identiti dalangnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, maklumat terbabit telah disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Justeru, PPNP akan bekerjasama dengan memberikan maklumat untuk memerangi isu pencerobohan tanah, mengakibatkan ketirisan hasil negara yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan rakyat dan pembangunan negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zuhairi menjelaskan, semasa petugas yang dilantik PPNP terdiri daripada jurukur tanah dan konsultan masuk ke kawasan untuk meninjau, mengenal pasti serta menanda pokok-pokok sawit yang ditanam haram bagi penyediaan kertas kerja, pihak UPNP telah hadir menyatakan menerima laporan pencerobohan tanah kerajaan.

Beliau berkata, pihak PPNP diberikan notis mengosongkan kawasan tersebut dan mengalihkan struktur binaan pagar berkunci dan pondok pekerja di kawasan itu dalam tempoh 14 hari yang akan berakhir pada 21 Jun ini.

"Sebaliknya, apa yang berlaku hari ini semasa petugas PPNP berada di kawasan tersebut untuk menyelesaikan kerja dan menurut arahan notis yang diberikan 14 hari itu yang masih berkuatkuasa.

"Pegawai UPNP yang membuat pemeriksaan telah meminta pekerja dilantik PPNP mengikut ke pejabat UPNP.

"Jadi, saya mengesahkan mereka tidak ditahan, hanya diambil keterangan," katanya.

Selain itu, Zuhairi memaklumkan UPNP turut mengambil sebuah jentera yang disewa PPNP berhampiran kawasan tersebut untuk mengalihkan pagar berkunci dan struktur binaan pondok pekerjanya sebagai bukti.

"Ini tindakan yang dianggap salah kerana PPNP mempunyai notis sehingga 21 Jun ini yang masih sah.

"Dengarlah dulu, kadang-kadang jadi pakar 'tiga minit' kemudian terus lontar di media sosial dan faktanya salah," katanya.

Beliau menambah, wakil PPNP memberikan kerjasama dengan menunjukkan dokumen permohonan 'tapping right' yang dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan serta laporan polis untuk rujukan pihak berkuasa berkenaan berhubung urusan yang dijalankan, bukan melakukan pencerobohan seperti kenyataan yang dikeluarkan.

"Penjelasan ini dibuat demi menjaga kepentingan dan imej PPNP.

"Jika masih berlarutan, PPNP tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan saman serta mengheret individu yang memutarbelitkan fakta ke mahkamah," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa isu pencerobohan tanah kerajaan negeri adalah perkara biasa dan sering dibiarkan tanpa tindakan penguatkuasaan yang tegas.

"Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, sebelum ini menyatakan bahawa lebih 160,000 hektar tanah kerajaan didakwa telah diteroka di seluruh Pahang.

"Mengejutkan, data tersebut diperoleh berdasarkan pengetahuan dan semakan yang dilakukan oleh beliau sendiri.

"Penguatkuasaan untuk membanteras pencerobohan tanah dan kecurian hasil masih lemah.

"Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga sebelum ini bertitah bahawa aktiviti penguatkuasaan masih berada pada tahap lemah dan memerlukan penambahbaikan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!