[VIDEO] Khidmat guru Bahasa Inggeris dibayar kerajaan Singapura - Fadhlina

A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa masuk sukarelawan guru bahasa Inggeris dari Singapura bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, lantikan itu tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan seperti telahan sesetengah pihak, sebaliknya ia adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, khidmat guru sukarelawan ini akan dibayar oleh kerajaan Singapura.

Fadhlina (kanan) ketika merasmikan Peluncuran Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI): Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, pada Khamis.
Fadhlina (kanan) ketika merasmikan Peluncuran Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI): Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, pada Khamis.

"Inisiatif ini memberi peluang kepada murid, guru dan pihak sekolah untuk mendapat pendedahan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan inovasi yang baik.

"Inisiatif sebegini sememangnya sentiasa dilaksanakan KPM dengan melibatkan pertukaran guru dari negara maju seperti Korea, Australia dan Amerika Syarikat," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Khamis.

Terdahulu Fadhlina hadir merasmikan Peluncuran Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI): Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap di sini.

Pada 12 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Malaysia telah berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar guru-guru untuk mengajar Bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, perkara itu disentuh beliau dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong di Seri Perdana di sini.

Jelasnya, ia merupakan cadangan dari Malaysia sekiranya republik itu mempunyai skim bantuan sukarela untuk siswazah Singapura dihantar ke kawasan miskin bandar, pedalaman, Sabah dan Sarawak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!