Beri makan daging korban kepada orang bukan Islam, ketahui hukumnya

KETAHUI hukum memberi daging korban dan makan hidangan tersebut kepada orang bukan Islam. -Foto: Canva
KETAHUI hukum memberi daging korban dan makan hidangan tersebut kepada orang bukan Islam. -Foto: Canva
A
A
A

MESKIPUN hari ini merupakan hari Tasyrik terakhir pada tahun ini, masih ramai lagi yang menerima daging korban.

Lebih-lebih lagi ibadah korban masih boleh disempurnakan sebelum masuknya waktu Maghrib pada hari ini.

Persoalannya, bolehkah memberi makan daging korban kepada golongan non-Muslim?

Menerusi infografik dikongsikan di laman sosial Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mazhab Syafie menyatakan tidak dibolehkan berbuat demikian kerana korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Bagaimanapun seandainya dalam komuniti masyarakat di sesebuah tempat itu terdapat jiran-jiran bukan Islam dan mereka dikenali dengan sifat baik serta keramahannya terhadap masyarakat Islam, maka dibolehkan untuk diberikan hasil korban tadi kepada mereka sekiranya terdapat lebihan.

“Namun begitu, jika hasil korban tersebut hanya mencukupi untuk orang Islam, maka perlu dahulukan umat Islam setempat yang lebih memerlukan,” katanya sebagaimana ditulis dalam infografik dikongsikan Jakim pada Rabu yang memetik sumber daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

INFOGRAFIK yang dikongsikan Jakim di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu tentang Hukum Memberi Makan Daging Korban Kepada Non-Muslim.
INFOGRAFIK yang dikongsikan Jakim di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu tentang Hukum Memberi Makan Daging Korban Kepada Non-Muslim.

Artikel Berkaitan:

Merujuk kepada laman web e-SMAF, e-Sumber Maklumat Fatwa, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 24 Ogos 2016 menjelaskan, pemberian lebihan daging kepada kafir zimmi (patuh kepada pemerintah Islam) yang miskin itu adalah berteraskan konsep dakwah dan siasah syariah.

Amalan itu bertepatan dengan ayat al-Quran yang menganjurkan supaya kita berbuat baik kepada orang bukan Islam.

Firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya ALLAH mengasihi orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah: 8)

“Memberi daging daripada hasil korban sunat kepada kafir dzimmi yang miskin dan dikenali dengan sifat baik dan ramahnya dengan masyarakat Islam adalah termasuk dalam berbuat baik yang dibenarkan oleh ALLAH SWT berdasarkan ayat itu.

“Selain itu, terdapat hadis yang boleh dijadikan sandaran menyatakan bahawa pemberian daging daripada korban sunat kepada kafir zimmi adalah termasuk dalam berbuat baik yang dibenarkan oleh syarak,” katanya sebagaimana dipetik daripada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor tentang memberi daging korban kepada orang bukan Islam.

Hadis dimaksudkan diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru Al-’Ash RA yang menyembelih seekor kambing buat ahli keluarganya, lalu beliau berkata: “Adakah kamu telah menghadiahkan daging tersebut kepada jiran kita Yahudi?”

Beliau menanyakannya sebanyak dua kali kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah bersabda: “Jibril sentiasa mewasiatkan kepada aku (berbuat baik) kepada jiran sehingga aku menyangka mereka menjadi sebagai pewaris.”

Bagaimana pula jika melibatkan daging korban yang dimasak?

Sekiranya daging daripada hasil korban sunat itu dimasak, kemudian dijamu sebagai salah satu hidangan dalam majlis kenduri atau menjadi bekal untuk dijamu bersama rakan sekerja di pejabat yang terdiri daripada orang bukan Islam, berikut penjelasan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor:

SEKIRANYA daging daripada hasil korban sunat itu dimasak, kemudian dijamu sebagai salah satu hidangan dalam majlis kenduri atau menjadi bekal untuk dijamu bersama rakan sekerja di pejabat yang terdiri daripada orang bukan Islam yang terkenal dengan sifat baik dan ramahnya terhadap masyarakat Islam, maka dibolehkan memberi makan daging itu kepada kafir zimmi yang miskin. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
SEKIRANYA daging daripada hasil korban sunat itu dimasak, kemudian dijamu sebagai salah satu hidangan dalam majlis kenduri atau menjadi bekal untuk dijamu bersama rakan sekerja di pejabat yang terdiri daripada orang bukan Islam yang terkenal dengan sifat baik dan ramahnya terhadap masyarakat Islam, maka dibolehkan memberi makan daging itu kepada kafir zimmi yang miskin. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Jika rakan sekerja bukan Islam itu terkenal dengan sifat baik dan ramahnya dengan masyarakat Islam, maka dibolehkan memberi makan daging itu kepada kafir zimmi yang miskin.

“Dalam masalah ini, boleh berpegang dengan pandangan ulama dalam Mazhab Syafie seperti Imam An-Nawawi Rahimahullah yang berpandangan sedemikian.

“Malah, pendapat tersebut juga sebenarnya merupakan pandangan sebahagian ulama dalam Mazhab Hanafi, apatah lagi menurut Mazhab Hanbali, harus dihadiahkan kepada orang kafir,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!