Haneffa pereka gitar premium

MOHD Haneffa (kiri) memberikan penerangan mengenai gitar elektrik yang dihasilkan kepada pelanggannya.
MOHD Haneffa (kiri) memberikan penerangan mengenai gitar elektrik yang dihasilkan kepada pelanggannya.
A
A
A

KESUKARAN mencari sebuah gitar elektrik yang memenuhi spesifikasi diinginkan untuk menghasilkan petikan merdu mendorongnya nekad membuat instrumen itu sendiri.

Bunyinya seperti kerja gila, namun itulah yang dilakukan Mohd Haneffa Abu Hassan. Bapa kepada dua anak itu sanggup berhenti kerja pada tahun 2010 lalu semata-mata untuk menghasilkan gitar elektrik buatan tangan berkualiti premium.

Melepaskan karier dalam industri minyak dan gas selepas lebih 13 tahun berkhidmat bukannya mudah. Pun begitu, bekas pelajar SMK Batu 14 Puchong, Selangor itu gigih berusaha bermula daripada sifar untuk mempelajari cara pembuatan gitar.

“Saya memang sangat sukakan gitar dan selalu pergi ke kedai alat itu setiap hujung minggu untuk cuci mata. Suka belek-belek rekaan gitar terbaharu dan part yang digunapakai.

“Selalunya, kalau mahu beli sebuah gitar memang saya cerewet, terutama dari segi reka bentuk, warna dan kualiti bunyiannya. Bukan senang mencari yang betul-betul penuhi kehendak,” ujarnya.

Mendapatkan ilmu melalui penyertaan dalam forum antarabangsa dan media sosial, bekas gitaris sebuah kumpulan muzik itu mula menunjukkan minat dalam bidang pembuatan gitar pada tahun 2006 lagi.

Menariknya, bermula dengan hanya suka-suka membuat gitar sebagai hobi masa lapang, Mohd Haneffa belajar sendiri cara pembuatan tangan dan potensi pasaran sebelum mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian sepenuh masa.

“Tak boleh hendak gambarkan perasaan kepuasan itu apabila berjaya siapkan satu gitar yang 100 peratus buatan tangan. Hanya orang yang minat pada gitar sahaja yang memahaminya,” ungkap pemuda berusia 36 tahun tersebut.

Artikel Berkaitan:

PEMILIHAN kayu yang sesuai amat penting untuk menghasilkan gitar sempurna.
PEMILIHAN kayu yang sesuai amat penting untuk menghasilkan gitar sempurna.

Acuan tersendiri

Bagi pemilik bengkel gitar terletak di Bukit Changgang, Banting Selangor itu, pemilihan kayu amat penting untuk menghasilkan sebuah gitar yang berkualiti.

Mengulas lanjut mengenai pemilihannya, pemilik jenama Hanif Illustrated Luthier itu amat mementingkan kualiti kayu yang digunapakai sama ada keluaran negara atau antarabangsa.

“Bukan sebarang kayu boleh digunakan untuk membuat gitar kerana kebanyakan yang ada di Malaysia jenis berat. Selalunya, saya akan guna jenis ‘rengas’ dan ‘malam’ untuk leher gitar.

“Bahagian badan pula, saya selalu guna kayu mahogani atau orang kampung panggil tunjuk langit. Tapi bergantung juga kepada kehendak pelanggan kerana masing-masing mempunyai minat berbeza,” katanya.

Tidak menafikan perusahaan diusahakannya turut berdepan cabaran antaranya untuk memohon dana pembiayaan, bagaimanapun Mohd Haneffa optimis ia dek bidang pembuatan gitar masih baharu di Malaysia.

Pun demikian, anak jati kelahiran Puchong, Selangor itu tidak menafikan promosi mulut ke mulut dan media sosial membantu memperkenalkan produknya lebih meluas.

SEBAHAGIAN instrumen yang dihasilkan Mohd Haneffa yang memakan masa hampir setahun.
SEBAHAGIAN instrumen yang dihasilkan Mohd Haneffa yang memakan masa hampir setahun.

“Terbaharu, saya menerima tempahan menyiapkan sebuah gitar berkualiti premium dengan anggaran RM12,000. Tempahan itu antara yang paling mahal pernah saya buat sebab menggunakan part luar negara yang berjenama. Selain itu, saya juga berkolaboratif dengan sebuah perusahaan kilang pembuatan gitar tempatan.

“Selain mengembangkan lagi bakat, usahasama itu bertujuan untuk menghasilkan 100 gitar pertama dengan harga mampu milik iaitu dianggarkan bawah RM1,000,” katanya yang menjual seunit gitar buatan tangan pada harga RM2,500 sehingga RM6,000.

Seperkara saranannya buat anak muda muda berminat mengikut jejak langkahnya supaya sentiasa mencari ilmu dan mempelajari teknologi terkini.

Beliau percaya peluang masih terbuka luas dalam bidang itu memandangkan merasakan masih terlalu kurang bengkel membuat gitar buatan tangan di Malaysia.

“Kualiti buatan tangan juga sukar dicari di mana-mana demi memenuhi kehendak pelanggan yang pelbagai.

“Tetapi saya percaya, keunikan hasil buatan tangan lain daripada lain akan menjadi kelebihan pereka,” jelasnya yang memiliki pelanggan seluruh negara.

KAYU pemuka gitar yang berwajah baharu menjadi antara pilihan pelanggan yang mendapatkan khidmat Mohd Haneffa.
KAYU pemuka gitar yang berwajah baharu menjadi antara pilihan pelanggan yang mendapatkan khidmat Mohd Haneffa.

Profil

Nama: Mohd Haneffa Abu Hassan

Umur: 36 Tahun

Asal: Puchong, Selangor

Kerjaya: Pembuat gitar buatan tangan

Tahap pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Facebook: Hanif Illustrated LuthierInstagram: @hilcs_guitar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!