Tiga aksi derbi utara: Nafuzi mahu fokus Liga Super terlebih dahulu
PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain mahu kelabnya meneruskan momentum untuk meraih tiga mata ke atas Penang FC pada aksi derbi utara Liga Super 2024-2025 di Stadium Bandaraya pada Sabtu.
Menurutnya, lawan sama juga akan dihadapi pada aksi timbal balik suku akhir Piala FA pada 28 Jun dan 5 Julai, namun fokusnya adalah meraih mata pada saingan Liga Super terlebih dahulu.
"Semangat Penang FC kini sedang membara selepas berjaya menewaskan Sri Pahang FC dan layak suku akhir Piala FA.
"Sabtu ini, kita mahu fokus untuk mendapatkan tiga mata ke atas Penang FC pada saingan Liga Super. Selepas itu kita akan fokus suku akhir Piala FA berdepan lawan sama.
"Kami mahu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim pada petang Rabu.
Jelas Nafuzi, semangat Sang Kenari juga berada pada tahap yang baik selepas berjaya mara ke suku akhir Piala FA dengan menewaskan Bukit Tambun FC 5-0.
Jelasnya, momentum tersebut perlu dikekalkan semasa bertemu Harimau Kumbang yang turut berada pada prestasi yang cukup baik ketika ini.
"Kami juga perlu terus fokus dengan persediaan untuk menghadapi perlawanan di laman lawan. Tahun lalu kita menang (di laman sendiri dan lawan) tapi tidak boleh dijadikan sebagai ukuran.
"Bagi saya prestasi sesebuah pasukan itu adalah semasa turut pada perlawanan berkenaan dan bukannya diukur melalui rekod yang lalu," ujar beliau.
Musim lalu, KDA FC berjaya menewaskan Penang FC 1-0 di laman sendiri dan 1-2 di laman lawan pada saingan Liga Super.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!