'Ibarat mati hidup semula'
KOTA KINABALU - "Ibarat seperti mati hidup semula."
Itu reaksi bekas banduan akhir yang terlepas hukuman gantung sampai mati dan kini masih menjalankan baki hukuman penjara tiga tahun lagi.
David (bukan nama sebenar), 50, berkata, keputusan mahkamah dalam rayuannya pada April lalu bukan saja memberi kelegaan kepadanya tetapi ahli keluarga yang sudah lama menanti dia keluar daripada penjara.
Menurut David, dia bersama dua lagi rakannya disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dalam satu kejadian di sebuah kedai serbaneka di Penampang pada 2001.
"Sukar saya ceritakan semula kejadian itu tapi ketika itu, saya tidak turun dari kenderaan dan semasa kejadian kami bertujuh.
"Dalam kejadian itu, seorang pekerja kedai serbaneka meninggal dunia manakala seorang lagi cedera," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Sempena Pesta Kaamatan dan Aidiladha di Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini pada Khamis.
Katanya lagi, susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) dia mengemukakan rayuan sebelum diputuskan terlepas daripada hukuman tersebut.
"Saya bersyukur sangat kerana diberi peluang kedua. Sekarang saya hanya perlu menjalani hukuman selama tiga tahun lagi sebelum dibebaskan," katanya.
David berkata, selama 18 tahun dia berada di penjara banyak perkara dipelajarinya termasuk pemulihan dari segi kerohanian.
"Saya bertekad selepas keluar nanti, saya akan luangkan masa untuk bersama ibu yang telah tua. Ibu saya juga berpesan supaya saya sentiasa berkelakuan baik dalam tempoh yang berbaki ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!