DUN Nenggiri: BN sedia rampas semula kerusi tradisi

Mohd Syahbuddin
Mohd Syahbuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) bersedia untuk merampas kembali kerusi tradisi mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada pilihan raya kecil (PRK) nanti.

Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, parti itu sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga terutamanya bagi menghadapi sebarang kemungkinan PRK atau pilihan raya umum (PRU) susulan kekalahan yang dihadapi pada PRU lepas.

“Bermula kekalahan itu, UMNO Gua Musang beberapa kali bermesyuarat dengan dipengerusikan oleh penasihat yang juga Pemimpin Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menyusun semula segala kelengkapan dan memperbaiki kelemahan jentera parti.

“Sekiranya kami berpeluang untuk merampas kembali mana-mana kerusi yang kalah pada PRU15 lalu, maknanya kami tidak perlu tunggu PRU16 dan kena berusaha mendapatkan balik kerusi termasuk merampas kembali Nenggiri yang juga kerusi tradisi BN,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Khamis.

Mohd Azizi
Mohd Azizi

Pada PRU15 lalu, calon Pas, Mohd Azizi Abu Naim dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang dengan undian 6,431 mengalahkan calon BN, Ab Aziz Yusoff yang mendapat 5,682 undi.

Mohd Syahbuddin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gua Musang itu berkata, kekakalan di Nenggiri buat pertama kali itu hanya kekalahan tipis dengan majoriti 749.

“Itupun disebabkan tsunami politik tanah air.

Artikel Berkaitan:

“Kali ini kami yakin mampu mengambil alih semula kerusi itu,” ujarnya.

Kata beliau, BN di negeri itu juga sudah melakukan gerak kerja dengan turun ke akar umbi bagi mendengar denyut nadi serta keluhan rakyat.

Salah satu kawasan di DUN Neggiri.
Salah satu kawasan di DUN Neggiri.

Kata beliau, pihaknya menumpukan kebajikan lebih 20,000 pengundi termasuk 2,500 yang terdiri daripada komuniti Orang Asli.

“Kawasan DUN Nenggiri mempunyai 20 pusat daerah mengundi antaranya lima melibatkan Orang Asli iaitu di Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera, Sungai Wias dan Pos Simpor.

“Sudah tentu mereka mahukan pembangunan seperti jalan raya, internet dan bekalan air bersih untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula pada Rabu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN Bersatu berhubung keahlian Mohd Azizi yang juga ADUN Nenggiri itu terbatal daripada Bersatu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!