Lelaki didakwa edar 63 kg kanabis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas tuduhan mengedar 63 kilogram kanabis dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada T Gaushigan, 28, setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A Shaarmini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar 63,487 gram (gm) kanabis di Jalan Persiaran Tengah, Horizon Hills, Iskandar Puteri, sekitar jam 2.30 petang, 8 Jun lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Untuk rekod, pada 13 Jun lalu, media melaporkan seorang 'transporter' ditahan polis selepas menemui 63,487 gram atau 60 peket ganja yang dianggarkan bernilai RM210,150 di bahagian but kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun itu.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Ogos depan sementara menunggu laporan kimia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: