Muda tuntut penjelasan PM, kedudukan Malaysia menurun dalam IMD

Parti Ikatan Demokratik Malaysia
Parti Ikatan Demokratik Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penurunan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2024.

Muda dalam satu kenyataan berkata, jika Perdana Menteri tidak dapat memberi jawapan, pihaknya mencadangkan agar menteri yang bertanggungjawab dalam portfolio yang berkaitan menjelaskan perkara tersebut.

Katanya, tiada penjelasan rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam tempoh 24 jam menunjukkan sama ada Perdana Menteri dan Menteri Kabinet menganggap isu itu penting atau sebaliknya.

"Adakah pemimpin Kerajaan Perpaduan lebih fokus terlibat dalam politik yang tidak matang seperti kempen pilihan raya kecil dan memelihara kepentingan enam ahli Parlimen berstatus katak yang kini menyokong mereka berbanding memberi fokus kepada isu-isu penting dalam hal ehwal negara.

"Sedangkan, penurunan ini memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada Kerajaan Perpaduan untuk mengatasi kelemahan yang telah dikenal pasti dan memulihkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang bersaing tinggi di peringkat global dalam masa terdekat," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam WCR 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.

Malaysia jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada tahun lalu, demikian menurut Laporan WCR yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi IMD.

Singapura muncul sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia, mendaki empat anak tangga dari tahun sebelumnya untuk mengatasi Switzerland di tempat kedua, diikuti Denmark di tempat ketiga.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, lebih khuatir Malaysia kini berada di bawah kedudukan Indonesia dan Singapura dalam indeks tersebut serta sedikit lebih tinggi daripada Filipina.

"Dengan penurunan yang signifikan ini, adakah Lim Guan Eng akan mengeluarkan kenyataan media sekali lagi untuk menyuarakan pandangannya memandangkan pada tahun 2022 beliau pernah mengutarakan kegagalan Malaysia dalam beberapa aspek yang penting.

"Muda juga menantikan penjelasan dari rakan sekutunya Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang merupakan jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan," jelasnya.

Menurut Muda, Malaysia mengalami penurunan dalam hampir semua faktor yang dinilai termasuk prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan.

"Satu-satunya pengecualian adalah dalam bidang infrastruktur, di mana Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan yang sama," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!