EMC dari Taiwan labur RM900 juta di Pulau Pinang

Albert (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Kon Yeow selepas sidang akhbar pada Khamis.
Albert (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Kon Yeow selepas sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A

SYARIKAT pembuatan dari Taiwan, Elite Material Co Ltd (EMC) telah memulakan operasinya di Penang Science Park-North (PSPN) dengan pelaburan lebih RM900 juta.

EMC adalah syarikat yang mengusahakan pembuatan laminat bersalut kuprum (CCL).

Dengan permulaan operasinya di negeri, ia merupakan kilang pembuatan EMC pertama dibuka di Asia Tenggara bertujuan meningkatkan daya tahan perniagaan bagi jangka panjang.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif EMC, Albert Dong berkata, pelaburan besar itu dilihat akan mengubah industri papan litar bercetak (PCB) di Malaysia.

Menurutnya, pelaburan strategik itu mencerminkan komitmen EMC terhadap keperluan pelanggan.

"Kita menjangkakan perolehan hasil daripada operasi kilang ini adalah RM150 juta (maksimum) sebulan setelah fasa kedua siap. Tapak pengeluaran ini akan merangkumi kira-kira 5.66 hektar tanah perindustrian.

"Pembinaan akan dijalankan dalam dua fasa iaitu fasa pertama akan menghasilkan kapasiti bulanan sebanyak 600,000 helai laminat.

"Sementara fasa kedua, kapasiti hasil akan bertambah sebanyak 150,000 helai, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 750,000," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Tambah Albert, pembinaan kilang ini dijangka siap pada suku pertama tahun 2025 dengan pengeluaran secara besar-besaran dijadualkan bermula pada suku kedua tahun sama.

"EMC menjangkakan kapasiti substratnya di Pulau Pinang akan siap seawal 2026. Perkembangan dalam pasaran substrat IC ini sejajar dengan ekosistem semikonduktor Malaysia, yang terkenal dengan daya saingnya serta dikenali sebagai Lembah Silikon Timur.

"Dengan hasil tahunan sebanyak RM7.5 bilion, EMC secara rasmi telah memasuki pasaran substrat IC pada 2020 dan memulakan pengeluaran besar-besaran pada 2021," katanya.

Kon Yeow berkata, pelaburan EMC di Pulau Pinang mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab ekonomi berimpak tinggi di peringkat nasional dan serantau.

“Ini adalah satu peristiwa penting dalam perjalanan transformasi industri Pulau Pinang dan bukti bagaimana pelaburan strategik utama diterjemahkan kepada limpahan teknologi dan ekonomi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!