[VIDEO] 'Saya belum terima notis daripada mana-mana pihak' - Speaker DUN Selangor

A
A
A

SHAH ALAM - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San mengakui masih belum menerima sebarang notis berhubung status keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Weng San berkata, sehingga kini beliau tidak menerima notis kekosongan kerusi itu berikutan pengguguran Abdul Rashid daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Saya belum terima apa-apa surat lagi daripada mana-mana pihak setakat ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Weng San, Abdul Rashid
Weng San, Abdul Rashid

Ditanya adakah Selangor bersedia mengikut jejak langkah Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri, Weng San memaklumkan beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

"Saya perlu melihat surat itu terlebih dahulu, tetapi buat sementara waktu memang saya tidak boleh beri komen kerana belum menerima surat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Khamis lalu, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum ini, enam ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka termasuk Abdul Rashid selain enam Ahli Parlimen iaitu Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang) yang juga Adun Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!