Pulau Pinang bincang projek penting dengan MOF esok

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan membincangkan mengenai beberapa projek penting yang dimohon daripada kerajaan Pusat dalam mesyuarat bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Jumaat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, antara projek dalam pertimbangan yang akan dibincangkan ialah pembinaan Projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua dan Projek Air Perak- Pulau Pinang.

Selain itu, menurut Kon Yeow, kerajaan negeri juga berharap mendapat sokongan daripada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung insentif kepada syarikat yang melabur di Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) dan Digital.

"Kita akan bincang beberapa projek yang sedang dalam pertimbangan dengan Menteri MOF esok.

"Selain itu, kerajaan negeri berharap MOF akan menyokong dan membantu menyediakan insentif tersebut," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut akan membincangkan cadangan berhubung kajian semula sistem agihan cukai oleh kerajaan Pusat kepada negeri.

"Selain berhubung projek, saya juga akan membincangkan cadangan tersebut yang mana sebelum ini, saya telah membawa isu berkenaan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri bulan lalu," katanya.

Sebelum ini, Kon Yeow menyatakan kerajaan negeri memohon kerajaan Pusat mengkaji semula sistem agihan cukai kepada negeri dengan memulangkan sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dikutip daripada Pulau Pinang kepada negeri itu semula.

Artikel Berkaitan:

Kata Kon Yeow, beliau akan membawa cadangan tersebut ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat Pusat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!