Gerak gesa bebaskan pelajar protes air Sabah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) menuntut pihak berkuasa membebaskan lapan pelajar Sekolah Alternatif di Sabah dan menghormati Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditandatangani Malaysia pada tahun 1995.

Gerakan itu berkata, pihak berkenaan seharusnya tidak melanggar hak dan kebebasan untuk pendidikan, kebebasan bersuara dan perlindungan golongan berkenaan sewenang-wenangnya.

"Kami mengecam tindakan polis yang nampaknya merupakan cubaan untuk mengintimidasi dan membisukan cikgu dan pelajar.

"Penglibatan individu tanpa kewarganegaraan dalam protes menekankan betapa pentingnya masalah keadilan sosial terhadap kumpulan pinggiran di Sabah.

"Gerak menyokong cikgu dan pelajar Sekolah Alternatif Sabah dalam perjuangan mereka untuk hak menerima pendidikan tinggi bagi anak-anak tanpa kewarganegaraan kerana pendidikan merupakan asas penting dalam pembangunan individu serta masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini sekumpulan guru dan pelajar dari sebuah Sekolah Alternatif ditahan susulan menyertai demonstrasi aman yang dianjurkan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah untuk memperjuangkan akses air lebih bersih di Sabah.

Rentetan itu, seorang guru telah dibebaskan manakala lapan pelajar masih ditahan.

Dalam pada itu Gerak menegaskan, anak-anak tanpa kewarganegaraan di Sabah menghadapi pelbagai cabaran untuk mendapatkan pendidikan termasuk kekurangan akses kepada sekolah awam, kekangan kewangan dan diskriminasi sosial.

Artikel Berkaitan:

Justeru gerakan itu mahu pendidikan adalah hak yang tidak boleh dinafikan kepada mana-mana individu tanpa mengira status kewarganegaraan.

"Pendidikan adalah kunci kepada pembangunan peribadi dan profesional serta alat penting untuk mencapai keadilan sosial.

"Dengan memastikan anak-anak tanpa kewarganegaraan di Sabah menerima pendidikan tinggi, kita bukan sahaja membantu mereka mencapai potensi penuh tetapi menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!