Empat rumah diroboh
IJOK – Empat unit bangunan kediaman dan satu tempat ibadat persendirian diroboh dalam satu operasi penguatkuasaan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor di Kampung Seri Sentosa, pagi tadi.
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, operasi itu dilaksanakan berikutan struktur binaan kekal terbabit menghalang kerja bagi projek menaiktarafkan jalan di kampung itu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati struktur binaan kediaman itu dibangunkan di atas tanah kerajaan dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 425 (1)(a) Kanun Tanah Negara.
“Kami menerima aduan pada 22 Ogos 2016 lalu berhubung struktur kediaman itu menghalang kerja yang dilaksanakan JKR dan dua notis kesalahan berserta satu surat pemakluman sudah diserahkan kepada pemilik.
“Notis pertama dikeluarkan pada 16 Mac 2017 lalu bagi meminta pemilik kediaman mengosongkan kawasan simpanan jalan terbabit manakala notis akhir dikeluarkan pada 18 September lalu,” katanya.
Shamsul Shahril berkata, surat peringatan juga dikeluarkan pada 4 Januari lalu bagi meminta pemilik binaan akur dan mengosongkan tanah memandangkan pampasan sudah diberikan.
“Semua pemilik sudah diberikan pampasan seperti yang diluluskan pemberimilikan berdasarkan bancian yang diperakui bertarikh 9 Januari 2013 lalu.
"Jika dilihat pada notis pertama, pemilik diberi tempoh 16 Mac 2017 lalu sehingga notis peringatan diserahkan pada 4 Januari lalu sebelum tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!