[VIDEO] Bersatu serah notis kekosongan enam kerusi kepada Speaker Dewan Rakyat

A
A
A

SHAH ALAM - Notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah diserah dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan olehnya selaku Ketua Whip parti.

"Pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan sebarang keputusan sesuatu parti politik adalah muktamad dan konklusif.

"Secara prinsipnya, saya yakin Tan Sri Johari (Speaker Dewan Rakyat) mahu memastikan badan Legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

"Beliau tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen tersebut kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan suatu pilihan raya kecil diadakan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee

Dalam pada itu Ronald memaklumkan, pengumuman oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada Rabu mengenai kekosongan luar jangka membabitkan DUN Nenggiri adalah keputusan tepat mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Perkara tersebut juga ujarnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Justeru sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.

"Hal ini juga telah diperjelaskan oleh bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!