UMPSA meterai MoA bersama jenama automotif terkemuka dunia

Dr Yuserrie dan Dr Mimi Sakinah (kiri) menandatangani MoA bersama pihak VGM diwakili Dr Susanne Lehmann (dua dari kanan) dan Nor Hayati.
Dr Yuserrie dan Dr Mimi Sakinah (kiri) menandatangani MoA bersama pihak VGM diwakili Dr Susanne Lehmann (dua dari kanan) dan Nor Hayati.
A
A
A

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama jenama automotif terkemuka dunia, Volkswagen Group Malaysia (VGM).

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, jalinan kerjasama itu sebagai platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan universiti itu dengan pemain industri bagi memperkasakan pendidikan, penyelidikan dan teknologi, khususnya dalam bidang automotif dan elektronik.

Menurutnya, melalui kerjasama strategik dua hala yang sedia terjalin itu, VGM akan berkongsi kepakaran, sumber dan pengetahuan dalam teknologi kejuruteraan Jerman yang terkenal dengan industri pembuatan kereta.

"Pihak Volkswagen di Pekan juga akan menawarkan penempatan latihan industri kepada pelajar.

"MoA ini juga melibatkan seminar, bengkel dan kajian penyelidikan teknologi baharu," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Majlis menandatangani MoA itu berlangsung di UMPSA Kampus Pekan baru-baru ini.

UMPSA diwakili Dr Yuserrie dan Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Datin Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim manakala VGM diwakili Pengarah Urusannya, Dr Susanne Lehmann dan Pengarah Volkswagen Pekan, Nor Hayati Othman.

Dr Yuserrie dan Dr Mimi Sakinah (kiri) menunjukkan MoA yang ditandatangani bersama pihak VGM diwakili Dr Susanne Lehmann (dua dari kanan) dan Nor Hayati.
Dr Yuserrie dan Dr Mimi Sakinah (kiri) menunjukkan MoA yang ditandatangani bersama pihak VGM diwakili Dr Susanne Lehmann (dua dari kanan) dan Nor Hayati.

Artikel Berkaitan:

Dr Yuserrie berkata, sudah tiba masanya UMPSA dan Volkswagen memperbaharui MoA dan meneruskan kerjasama dalam program yang memanfaatkan kedua-dua pihak dalam pembangunan bakat, latihan staf, pertukaran kepakaran, pengetahuan dan pemindahan teknologi, dan penyelidikan.

"Usaha itu kini ditumpukan kepada pembangunan terhadap cabaran global dan peralihan negara ke arah teknologi hijau termasuk kenderaan elektrik (EV).

"Langkah ini seiring dengan hasrat negara ke arah memanfaatkan ekosistem EV bagi menyokong pembangunan industri itu di negara ini," ujarnya.

Tambah beliau, usaha itu juga akan memanfaatkan kerjasama UMPSA dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman sejak 14 tahun lalu.

"Terbaharu dengan Mannheim University of Applied Sciences (HsMA), Jerman dalam program dual ijazah dengan universiti berkenaan dalam program kejuruteraan mekatronik, automotif dan elektrikal serta program kejuruteraan perniagaan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!