113 individu terbabit eksploitasi buruh paksa ditahan

Polis melaksanakan Operasi Pintas Mega, di seluruh negara, pada 12 Jun lalu. (Gambar kecil: Fadil)
Polis melaksanakan Operasi Pintas Mega, di seluruh negara, pada 12 Jun lalu. (Gambar kecil: Fadil)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 113 individu disyaki terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia ditahan dalam Operasi Pintas Mega, di seluruh negara, pada 12 Jun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, tangkapan itu terdiri daripada ahli sindiket warga tempatan, warga asing dari Thailand, India, Bangladesh, Indonesia dan China.

"Dalam operasi yang sama, kita turut menyelamatkan 73 mangsa di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Fadil
Fadil

Fadil berkata, mangsa yang diselamatkan terdiri dari 25 lelaki, 26 wanita dan 22 kanak-kanak warga tempatan, Filipina, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

"Selain daripada itu, pasukan serbuan juga berjaya menyelamatkan dua lelaki dan seorang wanita orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Beliau berkata, fokus operasi adalah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi buruh paksa) di kalangan golongan rentan dengan berpandukan kepada National Guideline On Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Sebanyak 33 serbuan dilaksanakan secara serentak oleh 14 kontinjen dan Bahagian D3 JSJ Bukit Aman.
Sebanyak 33 serbuan dilaksanakan secara serentak oleh 14 kontinjen dan Bahagian D3 JSJ Bukit Aman.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 33 serbuan dilaksanakan secara serentak oleh 14 kontinjen dan Bahagian D3 JSJ Bukit Aman," katanya.

Menurutnya, operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain termasuk Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) serta Kementerian Dalam Negeri.

"Agensi lain yang turut terlibat antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Fadil berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 55b, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Antara tangkapan yang dilakukan.
Antara tangkapan yang dilakukan.

"Kita memandang serius aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu dan kumpulan jenayah yang melakukan jenayah ini.

"Kita juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdangangan orang, sebarang maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis yang berdekatan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!