JAS pantau tumpahan minyak di perairan Pengerang

Kesan tumpahan minyak di persisir perairan Pengerang.
Kesan tumpahan minyak di persisir perairan Pengerang.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor akan meneruskan pemantauan di sepanjang perairan Pengerang susulan insiden tumpahan minyak akibat perlanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, Singapura pada Selasa.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, pihak JAS Negeri Johor telah memohon bantuan daripada pelbagai agensi bagi membantu aktiviti rondaan di laut bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden itu.

"JASNJ Johor telah memohon bantuan daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS), Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Pertahanan Awam (APAM), Dialog Terminals Pengerang Sdn Bhd, serta Petronas Pengerang untuk membantu bagi aktiviti rondaan di laut.

"Sekiranya perlu Pelan Tindakan Pembersihan Pantai akan diaktifkan bagi menjalankan operasi kerja-kerja pembersihan di pantai," katanya.

Beliau berkata, pihak JASNJ juga menerima makluman terdapat pencemaran minyak di pantai Sungai Rengit, Pengerang sekitar jam 9.30 pagi pada Rabu.

Pada 14 Jun lalu, sebuah kapal dari Belanda, Vox Maxima dilaporkan melanggar kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor di Terminal Pasir Panjang, Singapura.

Pelanggaran itu menyebabkan kira-kira 400 tan minyak bocor ke perairan sekitar pantai Singapura yang kemudiannya merebak ke perairan Malaysia yang diunjurkan akan merebak sehingga pantai Teluk Ramunia.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!