HASA LIFE: Ke arah mewujudkan persekitaran tempat kerja yang sihat

No Image Caption
A
A
A

PUNCAK ALAM - Persekitaran tempat kerja yang menyokong kepada pembudayaan hidup sihat dan aktif, mampu menjadikan warga Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) UiTM lebih berdaya saing.

Atas faktor itulah, HASA berjaya melahirkan tenaga kerja yang lebih produktif dalam bidang klinikal dan tidak klinikal ke tahap profesional di peringkat global.

Menurut Penolong Pendaftar (Pendidikan Kesihatan), HASA UiTM, Muhammad Akram Mat Radzi, usaha mewujudkan persekitaran tempat kerja yang menyokong kepada pembudayaan hidup sihat menjadi fokus kepada Jabatan Perubatan Kesihatan Awam dalam menyelaras dan menganjurkan HASA Healthy Lifestyle Campaign (LIFE).

“Pelbagai program dirancang sepanjang tahun bagi Kempen LIFE ini, di mana ia mencakupi beberapa komponen seperti Let's Move yang merupakan aktiviti berbentuk fizikal, manakala Eat Right pula menekankan aspek pemakanan secara sihat dan Feel Your Mind mempromosikan kesihatan minda manakala Stop for LIFE pula merupakan usaha ke arah berhenti merokok.”

“Menerusi Let’s Move, pelbagai program dirancang sepanjang tahun. Antara program yang sedang berlangsung adalah Program Intervensi Pengurusan Berat Badan, FitDiet 1.0 HASA yang melibatkan 35 peserta selama 10 minggu.

“Program ini melibatkan kerjasama beberapa jabatan iaitu Jabatan Dietetik dan Sajian, Jabatan Perubatan Pemulihan dan Jabatan Perubatan Kesihatan Awam. Program perintis ini sudah bermula sejak 19 Mei 2024 yang lepas dan dijangka berakhir pada 21 Julai 2024 nanti. Adalah diharapkan program FitDiet ini membuahkan hasil yang baik dan seterusnya menjadi pendorong penganjuran siri berikutnya,” katanya.

MUHAMMAD AKRAM
MUHAMMAD AKRAM



Jelas beliau lagi, majlis Pelancaran LIFE akan berlangsung pada 2 Julai 2024 bertempat di Auditorium 1, HASA.

Artikel Berkaitan:

Kata Muhammad Akram, program seterusnya yang akan dilancarkan adalah Take 5 for LIFE iaitu Kempen Regangan (Stretching) di tempat kerja.

“Selain itu, dua lagi program lain yang dilancarkan adalah Steps for LIFE iaitu Kempen Naik Tangga di Hospital dan program Walk for LIFE iaitu Kempen Berjalan 10,000 Langkah dalam menjayakan komponen aktiviti berbentuk fizikal Let's Move.

“Literasi kesihatan ialah keupayaan seseorang untuk mengakses, memahami, menilai, dan menggunakan maklumat kesihatan,” ujar beliau.

Menurut beliau, Tinjauan Literasi Kesihatan Malaysia (MHLS) 2023, satu daripada tiga orang dewasa Malaysia masih mempunyai literasi kesihatan yang rendah. Literasi kesihatan yang rendah akan menyukarkan seseorang untuk memahami nasihat doktor, membaca risalah ubat, mendapatkan rawatan yang betul dan mengekalkan gaya hidup sihat.

“Justeru, sebagai salah satu hospital pengajar di Malaysia, pihak kami juga turun padang dalam memberi pendedahan dan meningkatkan literasi kesihatan kepada penduduk setempat,” jelas Muhammad Akram lagi.

Antara penceramah yang menjayakan Majlis Pelancaran LIFE ini adalah Ketua Jabatan, Jabatan Sukan Prestasi Tinggi, Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Nursyuhada Mohd Sukri yang berkongsi berkenaan senaman dan pergerakan ringkas di meja pejabat.

DR NURSYUHADA
DR NURSYUHADA



Menurut beliau, antara punca yang menyebabkan pekerja kurang aktiviti fizikal adalah gaya hidup sedentari dan amalan kerja menggunakan komputer yang lebih banyak duduk daripada bergerak.

“Hal ini boleh membawa kepada masalah berat badan berlebihan dan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan orang dewasa yang bekerja terutamanya di negara membangun seperti Malaysia.

“Pembangunan teknologi yang pesat menyebabkan kebanyakan tugasan kerja dapat dilakukan daripada jauh dengan menggunakan komputer dan gajet lain yang menggalakkan tingkah laku sedentari.

“Hasil penyelidikan mencadangkan bahawa kadar kematian meningkat sebanyak 2 peratus untuk setiap jam duduk dan boleh meningkat lagi sehingga 8 peratus jika jumlah duduk melebihi 8 jam sehari,” katanya.

Jelas Dr. Nursyuhada, bukti daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menunjukkan 84 peratus dalam kalangan orang dewasa di Malaysia tidak aktif dalam sukan dan aktiviti kecergasan dan 84 peratus orang dewasa Malaysia tidak berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Katanya, prevalens ini adalah sangat membimbangkan kerana gaya hidup sedentari atau gaya hidup tidak aktif boleh meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular, kanser, penyakit pernafasan kronik dan diabetes.

“Selain daripada itu, kekurangan masa untuk bersenam juga merupakan punca kurangnya aktiviti fizikal, terutamanya kakitangan kesihatan yang menanggung beban kerja yang berat, tekanan emosi tinggi dan mereka terdedah kepada masalah gangguan muskuloskeletal dan kekurangan masa lapang untuk bersenam.

“Kajian menunjukkan, hanya 25 peratus kakitangan kesihatan melaporkan bahawa mereka melakukan senaman atau aktiviti fizikal yang kerap. Daripada mereka yang mendakwa melakukan senaman yang kerap, majoritinya adalah kakitangan kesihatan lelaki yang berumur di bawah 40 tahun dan mempunyai berat badan normal.

“Oleh itu, adalah amat penting bagi setiap pekerja di Malaysia mengetahui jenis senaman dan pergerakan ringkas, lebih-lebih lagi jenis pekerjaan yang banyak menggunakan komputer di meja,” katanya.

Untuk rekod Kempen LIFE ini merupakan kempen pembudayaan hidup sihat terbesar yang julung kali yang diadakan di HASA sejak ditubuhkan pada tahun 2021.