Kedai runcit jual tong LPG lebihi harga pasaran diserbu

Beberapa tong LPG disita KPDN Kedah di sebuah kedai runcit pada Rabu.
Beberapa tong LPG disita KPDN Kedah di sebuah kedai runcit pada Rabu.
A
A
A

JITRA - Sebuah premis perniagaan di pekan Kepala Batas, dekat sini diserbu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah kerana menjual tong gas petroleum cecair (LPG) melebihi harga ditetapkan.

Pengarah Pejabat KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, kedai runcit tersebut menjual tong LPG berkapasiti 12 kilogram (kg) pada harga RM25 berbanding harga kawalan ditetapkan, iaitu RM22.80.

Menurutnya, berikutan itu pasukan penguat kuasa KPDN bertindak menyita empat tong LPG dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM408.40.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut pada Rabu juga mendapati lesen bagi menjalankan perniagaan menjual LPG secara runcit telah tamat tempoh pada 28 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Muhammad Nizam berkata, operasi kedai runcit tersebut terbongkar setelah sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Alor Setar melakukan pemeriksaan hasil daripada aduan orang awam dengan melakukan penyamaran.

“Pasukan serbuan melakukan penyamaran dengan uji beli produk tong LPG yang dijual syarikat itu bagi mengenal pasti harga jualan sebenar barang kawalan itu.

Pemeriksaan mendapati kedai runcit tersebut menjual tong LPG pada harga lebih tinggi berbanding harga kawalan.
Pemeriksaan mendapati kedai runcit tersebut menjual tong LPG pada harga lebih tinggi berbanding harga kawalan.

“Hasil uji beli tersebut, kita dapati premis itu menjual tong LPG berkapasiti 12 kg pada harga lebih tinggi (RM25) berbanding harga kawalan ditetapkan (RM22.80),” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peniaga tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) kerana menjual barangan harga terkawal melebihi harga ditetapkan oleh Pengawal Harga.

“Selain itu, kes ini juga disiasat di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual LPG secara runcit tanpa lesen sah,” katanya.

Muhammad Nizam memberi amaran kepada peniaga agar tidak menjual barang kawalan melebihi harga yang ditetapkan oleh kerajaan atau berdepan tindakan perundangan.

“Mana-mana individu atau syarikat yang ingin menjalankan perniagaan melibatkan barang kawalan perlu mohon lesen daripada KPDN bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.

Menurutnya Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) memperuntukkan mana-mana individu jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya..

Muhammad Nizam berharap orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada Pejabat KPDN berhubung sebarang salah laku peniaga melalui saluran disediakan, aduan khas OPS Kesan 2.0 di talian 012-6654292 atau call centre 1-800-886-800 atau aplikasi EZ ADU KPDN selain menerusi WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!