Lelaki cuba rasuah polis RM18,000 ketika serbuan stor arak ditahan

Mohd Sohaimi (tengah) menunjukkan sebahagian arak seludup yang dirampas, pada sidang akhbar di IPD Seri Alam, Johor Bahru pada Khamis
Mohd Sohaimi (tengah) menunjukkan sebahagian arak seludup yang dirampas, pada sidang akhbar di IPD Seri Alam, Johor Bahru pada Khamis
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cubaan seorang lelaki memberi rasuah RM18,000 kepada anggota polis ketika serbuan di rumahnya di Taman Air Biru, Pasir Gudang pada Rabu sebagai tempat penyimpanan arak seludup tidak berhasil.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, wang tunai itu cuba disogok beberapa kali tetapi gagal dalam operasi pada jam 2 petang itu dilakukan sepasukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di rumah milik suspek yang berusia 51 tahun.

"Menerusi serbuan tersebut sebelum itu, pihak polis menahan seorang lelaki warga Nepal berusia 48 tahun. Lelaki warga asing ini mempunyai dokumen yang sah dan bekerja dengan lelaki terbabit sebagai penjaga stor.

"Bagaimanapun majikannya cuba memberi rasuah RM18,000 kepada anggota polis. Pihak polis beberapa kali memberi amaran supaya tidak berbuat demikian namun tetap berkeras mahu merasuah pihak berkuasa," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan dan hasil serbuan berkenaan pihak polis merampas 60 kotak minuman keras pelbagai jenis yang dipercayai tidak bercukai.

Antara minuman keras tidak bercukai yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Air Biru, Pasir Gudang pada Rabu.
Antara minuman keras tidak bercukai yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Air Biru, Pasir Gudang pada Rabu.

Katanya, antara yang dirampas 20 kotak Ishtar Extra Strong; lapan kotak Wrinkler Beer; lapan kotak Skol Super; lima kotak MC Dowells dan dua kotak Signature Whisky.

Mohd Sohaimi memberitahu, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM67,791 dan siasatan mendapati arak seludup berkenaan diperoleh dari negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Menerusi serbuan hasil risikan PPM Wilayah Dua itu katanya, turut ditemui pembungkusan baharu arak dengan paket seperti air minuman kanak-kanak dan kes disiasat di bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

"Pekerja terbabit ditahan reman di bawah Seksyen 116 C Akta Kastam 1967 selama lima hari, bermula hari ini hingga 24 Jun depan manakala majikannya pula diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

"Pekerja terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala majikan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes memiliki arak tidak bercukai pada tahun 2022 dan hasil saringan urin mendapati kedua-dua suspek negatif dadah," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!