Tiada seorang pun di Israel akan terselamat - Hizbullah
BEIRUT - “Tiada seorang pun di Israel akan terselamat dan terhindar dari bedilan roket serta dron kami sekiranya peperangan merebak.”
Amaran tegas itu diberikan Setiausaha Agung gerakan Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah selepas rejim Zionis memalu gendang perang ke atas Lubnan setelah serangan rentas sempadan semakin meningkat yang dikhuatiri akan menyemarakkan lagi konflik di Asia Barat.
“Kami sudah ada sasaran tepat. Israel sedia maklum apa yang menanti di Mediterranean adalah sangat besar. Mereka akan menghadapi serangan dari pelbagai arah iaitu laut, udara dan darat tanpa sebarang halangan.
“Musuh juga cuba mereka tanggapan tidak masuk akal kononnya serangan Hizbullah ke atas kedudukan Israel di bahagian utara wilayah diduduki pada 1948 tiada kaitan dengan perang genosid di Gaza. Kami sentiasa bersedia untuk berkonfrontasi dengan musuh Zionis,” katanya.
Nasrallah juga mengancam Cyprus jika ia membuka lapangan terbang atau pangkalan tentera kepada Israel untuk menyasarkan Beirut.
Presiden negara pulau Mediterranean itu, Nikos Christodoulides bagaimanapun menafikan penglibatan negara mereka dalam perang dilancarkan rejim Zionis sebaliknya memegang peranan di bawah koridor kemanusiaan maritim ke Gaza yang diiktiraf seluruh komuniti antarabangsa.
Ketika konflik semakin meruncing, pejuang Hizbullah dilaporkan telah membedil kedudukan tentera Israel dan logistik mereka di bandar Metula sebagai tindak balas terhadap serangan dilancarkan musuh di bandar Borgholiya, selatan Beirut yang meragut satu nyawa. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!