Jeti terapung AS di pantai Gaza bakal jadi gajah putih?

Jeti terapung itu dikatakan hanya dapat beroperasi selama 10 hari. Foto Agensi
Jeti terapung itu dikatakan hanya dapat beroperasi selama 10 hari. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Jeti terapung Amerika Syarikat (AS) yang menelan kos berjumlah AS$230 juta (RM1.08 bilion) dijangka beroperasi semula pada Khamis untuk memunggah bantuan kemanusiaan melalui koridor maritim ke Genting Gaza.

Dua pegawai Washington pada Rabu mengesahkan platform sementara itu telah 'dipasang semula' di pantai Gaza selepas ia terpaksa dialihkan pada Jumaat lalu kerana gelombang kuat.

Sebelum ini, beberapa agensi bantuan menempelak projek 'gajah putih' tersebut kerana ia dikatakan gagal mencapai tujuan sebenar untuk penghantaran segera bekalan ke enklaf berkenaan.

Ia menjangkakan operasi di dermaga sementara itu tidak akan bertahan lama dan bakal dihentikan dalam masa terdekat.

Sejak bulan lalu, jeti terapung itu dikatakan hanya dapat beroperasi selama 10 hari dan selebihnya dihabiskan untuk membaiki struktur yang rosak akibat dipukul gelombang dan ditutup sementara atas alasan faktor keselamatan.

Bantuan kemanusiaan mula tiba di platform tersebut pada 17 Mei lalu dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengangkut bekalan seberat kira-kira 900 tan metrik menggunakan 137 trak ke gudang di Gaza.

Idea projek itu disuarakan Presiden Joe Biden pada Mac lalu, namun banyak pihak berpendapat penghantaran bantuan melalui jalan darat sebagai kaedah terbaik untuk meringankan penderitaan penduduk Palestin. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!