KKM pandang serius isu lambakan, keselamatan makanan disumbangkan ke rumah kebajikan

KKM memandang serius isu lambakan dan status keselamatan makanan disumbangkan ke rumah kebajikan serta pusat tahfiz yang boleh menyebabkan kejadian keracunan makanan. Gambar hiasan
KKM memandang serius isu lambakan dan status keselamatan makanan disumbangkan ke rumah kebajikan serta pusat tahfiz yang boleh menyebabkan kejadian keracunan makanan. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius isu lambakan dan status keselamatan makanan disumbangkan ke rumah kebajikan serta pusat tahfiz yang boleh menyebabkan kejadian keracunan makanan.

KKM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai isu berkenaan yang dilaporkan dalam akhbar tempatan dua hari lepas.

"KKM memandang serius isu dibangkitkan dan memohon semua pihak terlibat dalam sumbangan dan penerima sumbangan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan makanan bagi mengelakkan sebarang kejadian keracunan yang boleh memudaratkan kesihatan penerima,” menurut kenyataan itu.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa memperkasakan kawalan pencegahan keracunan makanan di setiap peringkat rantaian makanan antaranya dengan membangunkan Garis Panduan Keselamatan Makanan Bank Makanan (Food Bank) yang menyediakan panduan bagi penyediaan makanan yang selamat dan berkualiti untuk tujuan sumbangan.

"Penderma makanan harus memastikan makanan disediakan selamat dimakan dan meletakkan maklumat seperti maklumat tarikh, masa makanan siap dimasak, masa akhir perlu dimakan atau tarikh luput makanan sebelum dimakan dan mesej keselamatan makanan supaya makanan tersebut dimakan dengan kadar segera dalam tempoh empat jam selepas disediakan.

"Penderma hendaklah memastikan penerima mendapat maklumat awal berkaitan makanan yang hendak disumbangkan dan memastikan makanan disumbang diterima oleh penerima bukannya ditinggalkan tanpa pemakluman,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KKM meminta penerima sumbangan makanan untuk merekodkan maklumat makanan diterima serta memastikan makanan yang diterima dalam keadaan baik dan selamat selain amalkan lihat, hidu dan rasa semasa penerimaan makanan.

Menurut KKM, penerima berhak menolak makanan yang diterima sekiranya keadaannya telah rosak, pembungkusan tidak sempurna, tiada maklumat makanan disumbangkan dan tempoh penyediaan telah melebihi empat jam.

Artikel Berkaitan:

"Penerima dinasihatkan untuk makan makanan yang disumbangkan dengan kadar segera dan elakkan menyimpan makanan melebihi tempoh selamat,” menurut kenyataan itu.

Selasa lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan beberapa pusat kebajikan di sekitar Lembah Klang seolah-olah dijadikan tempat membuang sisa makanan.

Dalam laporan berkenaan, Pengurus Maahad Tahfiz Al-Quran, Misbahul Falah di Taman Keramat, Kuala Lumpur, Mohd Suhairi Mohd Danan dipetik berkata, pihaknya kerap berdepan isu menerima lambakan makanan hampir basi dan sudah berbuih yang kononnya disedekahkan.

Garis Panduan Keselamatan Makanan Bank Makanan (Food Bank) ini boleh dimuat turun di laman web Program Keselamatan dan Kualiti Makanan di hq.moh.gov.my/fsq.

KKM memaklumkan pihaknya mengadakan taklimat keselamatan makanan dan menyampaikan mesej secara berterusan supaya masyarakat sedar bahawa keracunan makanan yang serius boleh membawa maut.

Sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) di http://moh.spab.gov.my atau https://www.facebook.com/bkkmhq. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!