Jangan terpedaya dengan sami palsu
GEORGE TOWN - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan memberi sumbangan kepada sami palsu di sekitar bandar ini.
Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Soo Siang berkata, setakat ini, sami palsu ini dikenal pasti berada di 12 kawasan terutamanya pasar dan kompleks makanan.
Menurutnya, lokasi yang dikenal pasti itu ialah Tapak Penjaja Lebuh Cecil, Pasar Jelutong, Pasar dan Kompleks Makanan Batu Lanchang, Pasar dan Kompleks Makanan Bayan Baru, Pasar Ayer Itam, Pasar dan Kompleks Makanan Padang Tembak, Komples Medan Angsana, Pasar Jalan Chowrasta, Pasar Pulau Tikus, Kompleks Lebuh Pitt, Kompleks Lorong Stewart dan Tapak Penjaja Lorong Baru.
"MBPP mendapati aktiviti tidak sihat yang didalangi sindiket itu akan meminta sedekah daripada orang awam yang berada di lokasi berkenaan.
"Sehubungan itu, Majlis telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jabatan teknikal Majlis serta agensi luar seperti Jabatan Imigresen Malaysia, polis, Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (Harmonico), Malaysian Buddhist Association dan United Buddhist Organisation Malaysia dalam membanteras kehadiran sami-sami palsu di pasar dan kompleks makanan Majlis.
"Sebagai langkah menangani masalah ini, Majlis akan mengadakan beberapa langkah pencegahan antaranya operasi bersepadu bersama agensi-agensi pihak berkuasa seperti polis dan Imigresen.
"Kita juga meminta sami-sami yang dikesan supaya meninggalkan bangunan pasar atau kompleks makanan dengan serta-merta," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Batu Lanchang, di sini pada Khamis.
Tambah beliau, orang awam terutamanya pelanggan di pasar atau kompleks makanan diingatkan lebih peka dan tidak terpedaya dengan kehadiran sami palsu ini untuk meminta sedekah.
"Sekiranya ingin menghulurkan bantuan, orang awam digalakkan supaya memberi makanan dan bukan wang kepada sami-sami palsu ini.
"Kita juga ada mengedarkan pelekat peringatan kepada peniaga selain turut meletakkan di atas meja makan untuk memberi maklumat dan kesedaran kepada orang awam," tambahnya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!