60 peratus pekerja gig miliki diploma, berpendidikan tinggi
KUALA LUMPUR - Sebanyak 60 peratus pekerja gig di Malaysia memiliki diploma atau kelayakan yang lebih tinggi.
Dapatan itu merupakan analisis yang dilakukan oleh Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution dalam Kertas Putih (Malaysia Centre4IR) yang bertajuk ‘Apa Yang Pekerja Gig Inginkan: Memahami Keutamaan Kerja dan Kebajikan Pekerja Gig di Malaysia’.
Menurut Ketua Malaysia Centre4IR dan Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation, Fabian Bigar, analisis itu turut melibatkan kerjasama Global Market Research and Public Opinion Specialist (IPSOS) dan Forum Ekonomi Dunia.
“Penerbitan analisis ini melibatkan 1,500 pekerja gig di Malaysia yang mengambil kira faktor demografi, pendapatan, motivasi dan sebagainya.
“Dalam kertas putih ini juga turut menyentuh mengenai pekerja gig menghargai fleksibiliti, kebolehcapaian dan pendapatan tambahan yang disediakan oleh ekonomi gig,” katanya ketika majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama Malaysia Centre4IR di Glasshouse Seputeh pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa individu tertarik kepada semua jenis pekerjaan gig sama ada berasaskan platform atau bukan platform.
Katanya, ia disebabkan oleh peluang pendapatan tambahan yang fleksibel dan boleh diakses berdasarkan perkara yang mereka tawarkan.
Sementara itu, Fabian memaklumkan, analisis kertas putih itu turut menyatakan hampir 80 peratus pekerja gig berumur 25 tahun ke atas dengan segmen yang besar berada dalam kumpulan umur 25 hingga 34 tahun.
Tambahnya, 19 peratus pekerja gig itu merancang untuk menjadikan pekerjaan tersebut sebagai satu kerjaya dalam satu jangka masa yang lama.
“Seterusnya, sebanyak 70 peratus daripada mereka terlibat dalam segmen melakukan kerja gig sebagai pekerjaan sambilan untuk menambah pendapatan.
“Seterusnya menyumbang kepada 37 peratus purata jumlah pendapatan mereka dan menunjukkan ia berfungsi sebagai sumber pendapatan tambahan dan bukan sumber utama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!