Lebih RM1.3 juta produk kecantikan dirampas disyaki guna logo halal tidak sah

Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut dipercayai bukanlah pemegang sijil halal yang diperakukan pihak berkuasa berwibawa sama ada Jakim atau MAIN. Foto KPDN
Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut dipercayai bukanlah pemegang sijil halal yang diperakukan pihak berkuasa berwibawa sama ada Jakim atau MAIN. Foto KPDN
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah premis rumah kedai yang disyaki mengeluarkan makanan tambahan berasaskan kecantikan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membabitkan rampasan lebih RM1.3 juta.

Pengarah Pejabat KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, operasi bersepadu yang dilaksanakan bersama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) ke atas premis pengeluaran produk kecantikan di Pokok Sena itu dipercayai akibat penggunaan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan ke atas produk jualannya berupa 'supplement' kecantikan.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1,336,499.60.

Antara produk yang dihasilkan syarikat berkenaan dikatakan menggunakan logo halal tidak sah pada pelbagai jenis bungkusan. Foto KPDN
Antara produk yang dihasilkan syarikat berkenaan dikatakan menggunakan logo halal tidak sah pada pelbagai jenis bungkusan. Foto KPDN

"Serbuan dijalankan kira-kira jam 11 pagi Rabu membabitkan 14 anggota penguat kuasa KPDN Alor Setar dan tiga pegawai Bahagian Pengurusan Halal JHEAIK.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut disyaki bukanlah pemegang sijil halal yang diperakukan pihak berkuasa berwibawa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, premis terbabit dikatakan menggunakan logo halal pada setiap label pek bungkusan di pelbagai jenis produk keluaran syarikat.

Katanya, tindakan kes diambil bawah Perenggan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 iaitu semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam melainkan jika diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

Syarikat yang disyaki mengeluarkan makanan tambahan berasaskan kecantikan menggunakan logo halal tidak sah. Foto KPDN
Syarikat yang disyaki mengeluarkan makanan tambahan berasaskan kecantikan menggunakan logo halal tidak sah. Foto KPDN

"KPDN Negeri Kedah ingin memberi amaran kepada peniaga agar tidak menggunakan logo halal tanpa diperakui pihak berkuasa berwibawa sama ada Jakim atau MAIN,"katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada Pejabat KPDN terhadap sebarang kegiatan mencurigakan melalui saluran berikut antaranya portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my, melalui talian 1-800-886-800 atau emel e-aduan@kpdn.gov.my.

Aduan juga boleh dikemukakan melalui aplikasi EZ ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245, aplikasi WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 dan Pejabat KPDN Kedah di talian 04-7001745.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!