Warga emas maut, motosikal dilanggar ketika ubah laluan

Keadaan motosikal dan kereta yang terbabit kemalangan jalan raya. Foto Ihsan PDRM
Keadaan motosikal dan kereta yang terbabit kemalangan jalan raya. Foto Ihsan PDRM
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta ketika menukar laluan di Jalan Persiaran Raya, di sini, pada Khamis.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.38 pagi itu, mangsa, Hassan Ali, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu seorang wanita suri rumah berusia 29 tahun.

“Hasil siasatan awal polis mendapati warga emas lelaki terbabit sebelum itu menunggang motosikalnya dari arah Bandar Lama menghala ke Bandar Baharu Gua Musang.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba penunggang yang berada di kiri jalan mengubah haluan ke kanan menyebabkan pemandu kereta arah belakang merempuh sisi kanan motosikal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkait kejadian boleh berhubung dengan pihak polis bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

“Maklumat juga boleh disalurkan ke BSPT Gua Musang di talian 09-9121222,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!