'Hanya Speaker yang berhak buat keputusan'

Ramli (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Paling Aktif sempena Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Batin dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli peringkat Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah Tahun 2024 di Dewan Utama Institut Tadbiran Islam Perak di sini pada Khamis.

A
A
A

IPOH - Kekosongan enam kerusi Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya layak diisytiharkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Itu penjelasan yang dibuat Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor berhubung notis pemakluman kekosongan kerusi yang dihantar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Khamis.

Menurutnya, walaupun parti berkenaan sudah mengemukakan notis kepada Pejabat Speaker Dewan Rakyat, keputusan sama ada kerusi tersebut kosong atau sebaliknya tetap di tangan Speaker Dewan Rakyat.

"Pandangan peribadi saya, hanya Speaker Dewan Rakyat sahaja yang menentukan sama ada kerusi (Parlimen) kosong atau tidak.

"Yang ada kuasa memutuskannya adalah Speaker Dewan yang berkenaan. Di Kelantan, Speaker Dewan Undangan Negeri yang berkenaan," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Batin dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli peringkat Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah Tahun 2024 di Dewan Utama Institut Tadbiran Islam Perak di sini.

Ramli (duduk, tiga dari kanan) bersama tok-tok batin yang hadir ke Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Batin dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli peringkat Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah Tahun 2024 di Dewan Utama Institut Tadbiran Islam Perak di sini pada Khamis.

Sebelum itu, Bersatu menerusi satu kenyataan memberitahu notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen mereka telah diserahkan dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan olehnya selaku Ketua Whip parti.

Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Daripada tujuh itu, enam membabitkan ahli Parlimen iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Mohd Azizi juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri di Kelantan.

Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Pada Rabu Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula pada Rabu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN Bersatu berhubung keahlian Mohd Azizi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!