Lelaki rentung rumah kedai terbakar
KUANTAN - [DIKEMASKINI] Seorang warga India rentung dalam kebakaran melibatkan tiga premis di tingkat tiga sebuah bangunan rumah kedai di Jalan Bukit Ubi di sini awal pagi tadi.
Mayat mangsa, Manikandan Murugan, 28, ditemui di tingkat tiga rumah kedai terbabit yang diubah suai menjadi bilik sewa.
Mangsa yang berasal dari Chennai, India itu dipercayai terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Kanan Bomba 1 Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 2 pagi selepas kebakaran berjaya dipadamkan.
Menurutnya, dalam kejadian itu, 27 penghuni terdiri daripada warga asing dan tempatan berjaya menyelamatkan diri serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Anggota bomba yang tiba di lokasi bertindak pantas mengejutkan penghuni bilik-bilik sewa di premis berkenaan dan mereka berjaya menyelamatkan diri.
"Mangsa yang maut juga mungkin cuba menyelamatkan diri tetapi gagal berbuat demikian," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian di sini hari ini.
Ismail berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati premis di tingkat tiga bangunan rumah kedai itu diubah suai menjadi bilik sewa yang dihuni warga asing dan tempatan.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga laluan keluar di premis berkenaan yang digunakan penghuni untuk menyelamatkan diri.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Abdul Rahim Muda yang meninjau lokasi kejadian berkata, premis berkenaan tidak sepatutnya mempunyai bilangan penghuni yang ramai namun ia telah diubah suai untuk tujuan sewa dengan menempatkan lebih 20 bilik.
Menurutnya, keadaan itu amat berisiko bila berlaku kebakaran dan pengubahsuaiannya tidak dapat dipastikan sama ada mendapat kebenaran serta memenuhi standard yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Penghuni yang terselamat ditempatkan sementara di Balai Komuniti Kampung Tengah dan ada yang menumpang di rumah keluarga dan rakan-rakan.
"Kita dapati bilik sewa ini mendapat permintaan dalam kalangan pekerja warga asing dan tempatan kerana bayaran sewanya lebih murah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!