SPR saran bakal calon PRK Sungai Bakap isi borang, buat semakan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NIBONG TEBAL - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia bagi melancarkan proses penamaan calon yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi di sini, yang bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi bagi penyerahan kertas penamaan calon.

"Kertas penamaan calon boleh diserahkan oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka dalam tempoh sejam yang ditetapkan pada hari Sabtu nanti.

"Selain itu, bakal-bakal calon disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon nanti sebagai bukti pembayaran," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon itu nanti.

Ikmalrudin berkata, setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi oleh seorang pencadang calon serta seorang penyokong untuk memasuki pusat penamaan calon.

Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada hari penamaan calon dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5], menurut beliau.

"Orang awam dan penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 5, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.

Menurutnya, SPR menyeru bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik serta lancar.

SPR menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!