Hasrat sertai BRICS beri manfaat kepada Malaysia, Asia Tenggara

Penyertaan tersebut juga dapat melindungi negara serta rantau Asia Tenggara jika berlaku perubahan dalam dasar monetari dan turun naik mata wang dollar Amerika Syarikat. - Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris

Asmirul. Laporan Sinar Harian
Asmirul. Laporan Sinar Harian
A
A
A

ALOR SETAR - Hasrat Malaysia menyertai blok kesatuan ekonomi dipelopori oleh negara Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan atau lebih dikenali sebagai BRICS adalah langkah tetap dan bersifat strategik yang boleh mengukuhkan ekosistem ekonomi serta politik bagi jangka masa pendek dan panjang.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, langkah itu bukan sahaja memberikan manfaat di dalam negara bahkan juga di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, Amanah Kedah turut berpandangan, keputusan kerajaan Malaysia menyertai BRICS di buat berdasarkan keperluan dan kepentingan geoekonomi dan geopolitik semasa yang semakin kompleks dan mencabar.

"Hasrat Malaysia menyertai BRICS adalah langkah tepat dan strategik, di mana ia membolehkan kerajaan Malaysia memperluaskan hubungan strategik berkaitan ekonomi, di samping memastikan suara Malaysia dapat disalurkan di forum antarabangsa melibatkan kuasa besar dunia, sama ada yang sedang muncul atau sebaliknya pada masa depan.

"Menyertai BRICS juga akan meningkatkan peluang perdagangan dan pelaburan, sekali gus meningkatkan pengaruh geopolitik Malaysia, dan mengubah dinamika geopolitik dan geoekonomi di rantau Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas, Asmirul Anuar lagi, penyertaan dalam BRICS turut melancarkan usaha negara terlibat di dalam blok ekonomi tersebut bagi mewujudkan sistem kewangan alternatif sekaligus jalan keluar kepada negara berkenaan agar tidak bergantung kepada mata wang dollar Amerika Syarikat untuk tujuan perdagangan.

Beliau berkata, penyertaan tersebut juga dapat melindungi negara serta rantau Asia Tenggara jika berlaku perubahan dalam dasar monetari dan turun naik mata wang dollar Amerika Syarikat.

"Di samping itu, ia berpotensi meningkatkan jangkaan dalam pasaran mata wang termasuk mengurangkan kos urus niaga kepada para pengeksport dan pengimport atas persefahaman negara-negara yang menandatangani penyertaan di dalam BRICS.

Artikel Berkaitan:

"Amanah Kedah juga optimis sekiranya Malaysia diterima masuk BRICS, ia akan mengubah dinamik dan landskap ekonomi khususnya melibatkan pemain industri terutama di sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan akan menerima manfaat yang signifikan," ujar beliau.

Tambah bekas Exco Kedah itu, semua pihak terutamanya pemain industri dan masyarakat perlu memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus melobi negara-negara terlibat di dalam BRICS agar menerima Malaysia sebagai negara anggotanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai kesatuan ekonomi dipelopori oleh negara Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan atau lebih dikenali sebagai BRICS tidak lama lagi.

Memetik laporan NEWS.AZ, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah mengambil keputusan yang sewajarnya berhubung perkara tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!