Perhilitan Terengganu kesan gajah hampiri rumah penduduk

Zanji menunjukkan pokok pisang musnah dirosakkan gajah di Kampung Pak Sik, Hulu Besut awal pagi Rabu. Foto Bernama
Zanji menunjukkan pokok pisang musnah dirosakkan gajah di Kampung Pak Sik, Hulu Besut awal pagi Rabu. Foto Bernama
A
A
A

JERTIH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu melaksanakan operasi mengesan seekor gajah liar didakwa berkeliaran berhampiran penempatan dan merosakkan kebun penduduk di Kampung Pak Sik, Hulu Besut di sini.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, pihaknya melaksanakan operasi berkenaan sejak 10 Jun lepas susulan aduan diterima daripada penduduk kampung terbabit.

Beliau berkata, enam anggota Perhilitan ditugaskan dalam operasi itu dan sehingga petang ini, masih belum berjaya menangkap gajah berkenaan.

"Pasukan tersebut masih berusaha untuk mengesan gajah jantan itu yang dipercayai masih berada di sekitar kampung. Operasi sebelum ini dihentikan seketika apabila gajah lari masuk ke dalam hutan simpan berhampiran dan disambung semula apabila ia kembali masuk ke kampung,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Pada 11 Mei lepas, seekor gajah jantan telah muncul kampung tersebut dan merosakkan tanaman penduduk sebelum ia ditangkap oleh Perhilitan Terengganu serta dipindahkan jauh daripada kawasan terbabit.

Namun selepas beberapa hari kemudian, penduduk sekali lagi digemparkan dengan kemunculan seekor lagi gajah didakwa lebih agresif meskipun saiznya lebih kecil berbanding yang sebelumnya.

Menurut seorang penduduk kampung, Zanji Zakaria, 52, berkata, kehadiran gajah berkenaan disedari isterinya pagi semalam apabila mendapati pokok pisang berdekatan rumah mereka tumbang selain terdapat kesan tapak kaki gajah di atas jalan.

"Saya dan keluarga tidak berani untuk keluar malam manakala penduduk berhampiran pula takut untuk keluar menoreh getah kerana bimbang keselamatan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Zanji dan penduduk kampung berharap gajah itu dapat segera ditangkap bagi memastikan keselamatan penduduk dan turut mengucapkan terima kasih kepada anggota Perhilitan yang bertungkus-lumus dalam usaha mengesan gajah berkenaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!