Malaysia, China zahir kebimbangan mendalam krisis kemanusiaan di Gaza
KUALA LUMPUR - Malaysia dan China melahirkan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan di Gaza dan menekankan keperluan melindungi orang awam mengikut undang-undang antarabangsa.
Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang menggesa gencatan senjata segera dan kekal, penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta perlindungan bagi petugas bantuan dan perubatan.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, termasuk hak untuk negara Palestin yang merdeka.
"Malaysia dan China menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempertimbangkan semula permohonan Palestin bagi keahlian penuh, selaras dengan Resolusi A/RES/ES-10/23 yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB pada 10 Mei 2024.
"Kedua-dua negara menyatakan sokongan penuh untuk menyambung semula proses penyelesaian politik berdasarkan penyelesaian dua negara serta mempromosikan penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan bagi isu Palestin pada tarikh terawal,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!