Kem wanita sumbang dua emas Tenpin Boling Remaja Asia

Pasukan wanita Malaysia A berjaya memenangi pingat emas pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 di Sunway Pyramid pada Khamis. Foto Bernama
Pasukan wanita Malaysia A berjaya memenangi pingat emas pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 di Sunway Pyramid pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KEM wanita nyata berada dalam kelas tersendiri apabila menamatkan penantian Malaysia dengan menghadirkan dua pingat emas menerusi acara All Events dan berpasukan wanita pada hari ketiga Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway di Petaling Jaya, pada Khamis.

Dalam acara All Events wanita, Afiqah Kamilia Ali menyerlah bagi keempat-empat kategori iaitu singles (1,264), doubles (1,210), Team1 (589) dan Team2 (631) dengan mencatatkan 3,694 jatuhan pin secara keseluruhan.

Atlet berusia 18 tahun itu turut membantu pasukan Malaysia A yang diwakili Intan Nor Edryana Nor Azliman, Nur Ainul Hayat Ad Nor dan Adelia Nur Irwan Syazalee untuk menjuarai acara berpasukan wanita dengan 4,720 jatuhan pin.

Afiqah Kamilia yang membuat penampilan kedua dalam kejohanan berkenaan berkata beliau tidak menyangka mampu mengatasi pencabar daripada negara lain untuk memastikan lagu Negaraku akhirnya dapat berkumandang di hadapan peminat boling tanah air.

"Saya tidak sangka dapat podium hari ini (namun) Alhamdullilah dapat dua emas. Saya berterima kasih kepada ibu bapa (serta rakan sepasukan) yang sentiasa memberi sokongan.

"Untuk acara masters selepas ini, saya tidak mahu memberi tekanan, namun pastinya akan memberi yang terbaik,” katanya.

Nur Ainul Hayat dan Intan Nor Edryana (kanan) beraksi dalam kategori beregu wanita. Foto Bernama
Nur Ainul Hayat dan Intan Nor Edryana (kanan) beraksi dalam kategori beregu wanita. Foto Bernama

Sementara itu, seorang lagi atlet muda negara, Intan Nor Edryana tidak kurang hebatnya apabila menjatuhkan 3,680 pin untuk membawa pulang pingat perak bagi acara All Events wanita.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Malaysia B yang diwakili Amin Zulkarnain Zulkifli, Eldred Kho Yek Zhen, Muhammad Aiman Syahin dan Muhammad Aqil Faizal mendapat pingat perak acara berpasukan lelaki setelah merekodkan 4,917 jatuhan pin.

Malaysia sebelum ini hanya menuai dua pingat gangsa menerusi Ethan Damian Goh (individu lelaki) dan Qurratu’ain Izdihar Mohd Pozi (individu wanita) pada hari pertama kejohanan iaitu Selasa (18 Jun).

Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 berlangsung dari 16 hingga 23 Jun disertai 14 pasukan antaranya Malaysia, Australia, Singapura, China, Indonesia, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, Macau dan Pakistan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!