Hindar strok haba, jemaah lontar jamrah waktu petang
SHAH ALAM - Jemaah haji Malaysia mengikut saranan melakukan ibadah melontar jamrah pada waktu petang bagi menjaga kesihatan dan menghindari risiko diserang strok haba.
Jemaah haji, Muhammad Nurhakim Mohd Noor berkata, ibadah melontar di tiga jamrah iaitu Jamrah Sugra, Wusta dan Kubra memberikan cabaran tersendiri ekoran faktor cuaca yang panas iaitu sekitar 44 darjah Celsius selain jemaah perlu berjalan dalam jarak agak jauh.
"Mujurlah pihak Pengelola Jemaah Haji (PJH), MKM Ticketing Travel & Tours (MKM) telah menetapkan masa yang sesuai untuk melontar iaitu pada waktu petang.
"Pihak PJH lebih tahu masa tertentu yang orang tidak berapa ramai untuk mudahkan pergerakan kami selain kami disaran pakai pelindung kepala seperti topi untuk elak pancaran terik matahari terus ke kepala," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, dilaporkan lebih 550 jemaah haji meninggal dunia pada musim haji kali ini berikutan suhu ekstrem di Tanah Suci Makkah.
Dua diplomat Arab yang enggan identiti mereka didedahkan memaklumkan kira-kira 323 daripada angka itu adalah jemaah warga Mesir dan sebahagian besarnya meninggal dunia kerana penyakit berkaitan strok haba.
Bagaimanapun, Muhammad Nurhakim memberitahu, segala cabaran yang dihadapi semasa melontar juga hilang apabila dapat menyempurnakan ibadah berkenaan.
"Selesai sahaja melontar, saya rasa sangat lapang, saya juga terharu kerana dapat menyelesaikan semua rukun haji. Sebaik-baiknya untuk tunaikan ibadah haji ini datanglah semasa muda jika berkemampuan.
"Ibadah haji sangat memerlukan kekuatan fizikal untuk kita berjalan, melontar dan mengerjakan kesemua rukun-rukun haji yang lain," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Operasi Haji MKM, Dr Abdul Hadi Abdul Raman berkata, suhu yang panas membuatkan pihak Lembaga Tabung Haji (TH) dan PJH memantau rapat tahap kesihatan semasa jemaah haji.
"Apa yang utama kita sentiasa keluarkan panduan supaya jemaah dapat menyempurnakan setiap rukun haji tanpa ada sebarang masalah.
"Perkembangan semasa ibadah haji boleh diketahui dengan melayari laman sesawang MKM di www.mkm.my," kata beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!