Zambry ketuai jentera BN di Sungai Bakap
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO akan menggerakkan sepenuhnya seluruh jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato’ Onn di sini, pada Khamis."UMNO menamakan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) DUN berkenaan, manakala Datuk Musa Sheikh Fadzir sebagai Pengarah Operasi dan Datuk Seri Ahmad Maslan selaku Ketua War Room pilihan raya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Media melaporkan, Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, 60, daripada PKR manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56, sebagai calon mewakili mereka.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.
Selain itu, menurut Asyraf, mesyuarat turut bersetuju Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos depan.
Beliau memberitahu, mesyuarat memutuskan UMNO di semua peringkat mesti mengambil tanggungjawab untuk membantu kerajaan membumikan dan melaksanakan Dasar TVET Negara.
Langkah itu katanya, bagi memastikan lebih 250,000 tempat-tempat pengajian TVET yang disediakan oleh 1,345 institusi TVET seluruh negara, dimanfaatkan dan dapat diisi sepenuhnya oleh anak-anak muda.
“Mesyuarat merasakan agenda TVET yang dipelopori oleh Presiden UMNO selaku Pengerusi Majlis TVET Negara merupakan satu inisiatif yang berimpak besar.
“Ia mampu membantu anak-anak muda yang mempunyai potensi besar dalam pelbagai aspek kemahiran dan vokasional dapat dibela serta diberikan peluang masa depan lebih cerah dengan peluang pekerjaan bergaji premium,” katanya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!