Kalau kerajaan boleh kenapa pihak lain tidak boleh

Rasuah Busters menyatakan pemberian sumbangan menyalahi mandat dan kepercayaan rakyat dan jelas ia mempunyai elemen sogokan dan rasuah terutama menjelang PRK DUN Sungai Bakap. Gambar hiasan
Rasuah Busters menyatakan pemberian sumbangan menyalahi mandat dan kepercayaan rakyat dan jelas ia mempunyai elemen sogokan dan rasuah terutama menjelang PRK DUN Sungai Bakap. Gambar hiasan
A
A
A

DUA hari lepas Rasuah Busters mengecam tindakan mengumumkan sumbangan RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau yang berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pulau Pinang baru-baru ini.

Sejumlah RM17,751,284 peruntukan untuk projek pembinaan balai bomba, penaiktarafan pasar Bukit Panchor dan sumbangan rumah ibadah bukan Islam pula diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurut Rasuah Busters, ia menyalahi mandat dan kepercayaan rakyat dan jelas ia mempunyai elemen sogokan dan rasuah terutama menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap.

Ini bukan pertama kali Kor Ming berbuat demikian. Pada 18 April lalu, Kor Ming mengumumkan peruntukan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor bagi menambah baik infrastruktur awam di daerah itu menjelang PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

Anwar yang juga Presiden PKR juga cukup ‘pantang’ dengan amalan rasuah dan disebabkan itu seawal mentadbir negara, perkara pertama dilakukannya ialah mahu melaksana reformasi tatakelola pentadbiran dan membanteras rasuah habis-habisan menjadikan ramai yang ‘gerun’.

Namun tindakan mengumumkan peruntukan di Sungai Bakap itu sudah tentu mengundang kritikan kerana dipercayai diberikan demi kepentingan politik. Kata Rasuah Busters, jangan main kotor!

Apa saja bentuk janji dan pemberian menjelang pilihan raya bukan saja menimbulkan tafsiran dan persepsi negatif rakyat.

Malah, tindakan sedemikian memberi gambaran hipokrasi yang tidak mencerminkan aspirasi dan komitmen sebuah negara yang sedang berusaha memerangi rasuah dan langkah terkebelakang bagi pemulihan tadbir urus serta struktur integriti negara.

Artikel Berkaitan:

Apa yang berlaku ini adalah contoh klasik mentaliti di Malaysia apabila berdepan isu salah guna kuasa khusus apabila ia melibatkan pihak berkuasa.

Kalau pemimpin kerajaan buat tidak mengapa, pihak lain buat tidak boleh. Sedangkan isu rasuah pada pilihan raya telah diperjuangkan ketika era reformasi lagi.

Sudah tentu persepsi sebegini mencemar segala usaha kerajaan memerangi rasuah kerana berlaku secara terang-terangan.

Persoalannya, mengapa Sungai Bakap sahaja yang memperoleh sumbangan sebanyak itu, bagaimana pula dengan kawasan lain? Mungkin kerana tidak ada PRK, maka kawasan itu tidak layak atau dinafikan hak menerima sumbangan?

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!