Keracunan makanan bukan isu picisan

Keracunan makanan tidak boleh dipandang enteng kerana ia bukan sahaja memudaratkan kesihatan bahkan lebih serius mampu meragut nyawa. Gambar hiasan 123rf
Keracunan makanan tidak boleh dipandang enteng kerana ia bukan sahaja memudaratkan kesihatan bahkan lebih serius mampu meragut nyawa. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

ISU keracunan makanan bukan isu baharu yang berlaku dalam masyarakat dan tidak boleh dipandang enteng kerana ia bukan sahaja memudaratkan kesihatan bahkan lebih serius mampu meragut nyawa.

Walaupun boleh berlaku kepada semua peringkat umur, namun apa yang lebih merisaukan apabila kes keracunan makanan boleh dikatakan seakan-akan menjadi 'acara tahunan' khususnya melibatkan murid-murid sekolah di seluruh negara.

Isnin minggu lalu, seramai 82 individu mengalami gejala keracunan makanan manakala dua disahkan maut dipercayai selepas memakan bihun goreng dan telur yang disediakan untuk program di sebuah sekolah agama di Selangor pada Sabtu.

Ketika pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan berhubung kes terbabit, kita dikejutkan pula dengan satu lagi kes di sebuah sekolah asrama penuh di Jempol dua hari selepas itu.

Seramai 24 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima dimasukkan ke hospital kerana disyaki mengalami keracunan makanan selepas menikmati juadah tengah hari di asrama sekolah terbabit.

Dua bulan lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut melakukan siasatan berhubung kes keracunan makanan melibatkan 75 pelajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu selepas mereka menikmati nasi bungkus.

Difahamkan pengusaha kantin sekolah terbabit juga telah dikenakan kompaun selain turut diberi penerangan berhubung pengurusan makanan yang betul oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

Jadi sudah sampai masanya satu pendekatan secara tuntas dapat dilaksanakan oleh pihak-pihak berkepentingan dalam mengawal selia premis-premis penyediaan makanan agar kes keracunan makanan ini tidak lagi menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Bukan itu sahaja, ibu bapa mahupun pengusaha makanan juga perlu memainkan peranan masing-masing agar lebih cakna dalam hal-hal penyediaan makanan bagi memastikan statistik keracunan makanan dapat dikekang dan dikurangkan sekali gus memastikan anak-anak serta masyarakat dapat menjalani sebuah kehidupan yang sihat melalui pemakanan seimbang dan selamat.

Bahkan Pensyarah Kanan Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Redzwan Sabran turut menyarankan pihak yang mengendali makanan agar lebih peka dalam aspek penyediaan makanan dalam menangani isu-isu berkaitan keracunan makanan.

Menurutnya, penyediaan daripada bahan tercemar dan membiarkan makanan terdedah dalam jangka masa lama juga menjadi antara faktor risiko tinggi berlakunya keracunan hingga boleh membawa maut.

“Disebabkan itu, cara pengendalian makanan amat penting bagi memastikan hidangan disediakan selamat serta bebas daripada sebarang pembiakan bakteria,” katanya.

Selain itu, pengusaha makanan juga perlulah mematuhi aspek kesihatan yang telah digariskan pihak berwajib termasuklah memastikan kebersihan makanan, mengikuti kursus pengendali makanan dan mengambil suntikan pelalian tifoid agar tidak menimbulkan sebarang masalah yang tidak diingini.

Apa pun keracunan makanan khususnya di kantin dan dapur asrama sekolah boleh dielakkan jika pengusaha memantau kebersihan, mengambil tahu sumber bekalan makanan serta menyelia proses penyediaan makanan mengikut garis panduan disediakan pihak berwajib.

Ia merupakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan bukan sahaja daripada pihak sekolah bahkan ibu bapa yang tidak berkesempatan menyediakan ‘bekal’ buat anak-anak mereka ke sekolah.

Justeru, penulis ingin sarankan agar kita dapat mengamalkan lima kunci keselamatan makanan yang mudah sebagaimana disarankan KKM bagi mengelakkan berlakunya keracunan makanan bermula dengan menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan, gunakan peralatan yang bersih, masak makanan dengan sempurna, simpanan makanan pada suhu yang bersesuaian dan tidak melebihi tiga hari di dalam peti sejuk serta gunakan bahan yang segar dan air yang bersih untuk memasak.

* Zubir Sulaiman ialah Editor Pengisian Sinar Online

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!