Zarina Zainuddin kasihan kalau kurung anak

Zarina bersama anak kembar lelaki istimewa iaitu Azal (kanan) dan Azil (kiri).
Zarina bersama anak kembar lelaki istimewa iaitu Azal (kanan) dan Azil (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pelakon, Nur Zarina Mohd Zainuddin, 53, yang mempunyai sepasang anak kembar autisme tidak bersetuju dengan pandangan segelintir pihak supaya mengurung golongan tersebut demi untuk keselamatan mereka atau orang lain.

Beliau yang dikenali sebagai Zarina Zainuddin berpandangan, tindakan tersebut tidak sepatutnya dilakukan oleh penjaga kerana ia dilihat seolah-olah menyeksa mereka.

Ujar beliau, sekiranya anak kembarnya, Muhammad Raizal Azrai (Azal) dan Muhammad Razil Azrai (Azil) masing-masing berusia 28 tahun mengalami tantrum (buat perangai), dia mengakui akan membiarkan mereka bertindak agresif namun masih dalam pemantauan orang yang lebih dewasa.

Ini kerana dia tidak mahu menyeksa anak syurga itu kerana mereka berhak mempunyai kehidupan seperti manusia biasa yang lain.

“Tak boleh kurung, kasihan dia. Dia tantrum setiap masa, kadang-kadang satu hari ada juga sampai empat kali mengamuk.

“Mereka akan tenang sendiri, biarkan saja cuma jangan bagi dia pukul muka sendiri sebab sakit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Zarina berkata, beliau akan melupakan tindakan di luar kawalan anaknya itu kerana tidak mahu meletakkannya sebagai satu beban.

Artikel Berkaitan:

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.

Malah beliau yang merupakan pelakon drama dan filem itu menganggap kejadian tantrum yang berlaku kepada Azal dan Azil sebagai satu penambahbaikan kepada dirinya untuk memperbaiki cara didikan.

“Perkara yang negatif itu saya cuba lupakan sebab tidak mahu jadikannya sebagai bebanan kepada saya. “Saya fikir kalau hari ini mereka tantrum macam ini, esok kita cuba cari cara lain untuk bagi mereka tenang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zarina turut menasihati ibu bapa yang mempunyai anak autisme agar mendidik dan menjaga anak istimewa itu dengan penuh kasih sayang kerana mereka adalah amanah daripada ALLAH SWT.

Tambahnya, mempunyai ahli keluarga yang istimewa sebenarnya lebih banyak mengajar erti kehidupan dan menjadi manusia yang lebih bersabar.

“Tiada masalah pun kalau ada ibu bapa tidak menghebohkan yang mereka ada anak autisme.

“Kita tak boleh nak paksa cara orang lain dan mungkin mereka perlukan privasi masing-masing.

“Selagi tidak menyusahkan orang sekeliling dan mereka boleh jaga anak itu memang tidak menjadi satu masalah.

“Kita bukan berada dalam kehidupan dia, jadi tak boleh nak samakan kerana kita di rumah yang lain,” kata Zarina.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!