Pas atur gerak kerja bantu calon BN

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pas akan mengatur gerak kerja bagi membantu calon BN, Ramli Mohd Nor pada PRK Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga bersetuju dengan calon langsung yang dikemukakan BN yang disifatkan bersesuaian dengan suasana semasa dan geopolitik di kawasan berkenaan.

"Pas percaya pencalonan yang dibuat atas dasar tolak ansur parti-parti BN dan penerimaan baik oleh parti-parti pembangkang lain termasuk Pas boleh mewujudkan “muafakat pembangkang” yang kuat sekali gus menjadi formula terbaik untuk meraih undi bagi membolehkan BN mengekalkan kerusi Cameron Highlands," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: BN pertaruhkan bekas pegawai kanan polis]

Pada PRK Cameron Highlands, BN buat pertama kalinya meletakkan bekas pegawai kanan polis yang juga wakil kaum Orang Asli, Ramli Mohd. Nor sebagai calon mereka.

Pemilihan Ramli adalah berdasarkan faktor yang diterima semua pihak selain mendapat kepercayaan daripada penduduk tempatan serta latar belakangnya yang baik dan kuat.

Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Ramli juga mempunyai pertalian yang kuat dengan pemimpin-pemimpin Orang Asli atau Tok Batin di Cameron Highlands.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sebagaimana yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pas akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan BN Pahang dalam waktu terdekat bagi menyelaraskan gerak kerja membantu calon BN.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jentera Pilihan Raya Pas akan diketuai oleh Naib Presiden, Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai Pengarah Starategik, manakala Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar, sebagai Pengarah Operasi.

"Pas juga akan menghantar wakil-wakilnya dari kalangan pimpinan kanan parti untuk menghadiri Hari Penamaan Calon pada 12 Januari 2019 sebagai sokongan kepada calon pembangkang," katanya.

Kerusi Cameron Highlands mencatatkan jumlah pengundi seramai 32,048 dengan Melayu sebanyak 34.24 peratus; Cina (32.29 peratus); India (12.48 peratus) dan lain-lain 20.98 peratus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!