Anak autisme bukan kifarah tetapi rahmat ALLAH SWT

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: PU Amin)
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: PU Amin)
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa yang dikurniakan dengan anak autisme tidak boleh dianggap sebagai musibah atau kifarah, sebaliknya ia merupakan hadiah dan rahmat ALLAH SWT kepada insan terpilih.

Pencetus Ummah (PU), Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali PU Amin berkata, keunikan dan keistimewaan tersebut hanya diberikan kepada orang yang benar-benar mampu menghadapinya.

“Setiap musibah datang kepada semua golongan manusia tidak kira sama ada dia sempurna atau tidak dari segi fizikal dan mental. Mungkin dia tidak cacat fizikal tetapi ada ujian lain yang diturunkan kepadanya.

“Tiada asas mengatakan ibu bapa menerima kifarah kerana dikurniakan anak orang kurang upaya (OKU) atau autisme berikutan keburukan dan kebaikan manusia adalah rahsia di sisi ALLAH SWT.

“Ia keistimewaan yang diberikan ALLAH SWT seperti yang disebutkan dalam al-Quran bahawa tidak diletakkan beban, ujian atau perkara-perkara susah kepada manusia kecuali dia mampu untuk hadapi,” katanya.

Tambah PU Amin, pandangan berkenaan wujud disebabkan pemikiran masyarakat tradisional dan zaman jahiliah yang menganggap ujian itu diterima akibat kemurkaan ALLAH SWT.

“Apabila diberikan kebaikan, orang jahiliah kata ia rahmat tetapi apabila menerima musibah, mereka mengatakan ALLAH SWT tidak baik dan jahat.

“Apa yang kita perlu faham, baik atau buruk, kedua-duanya rahmat kecuali orang yang betul-betul melakukan kemurkaan dan penderhakaan kepada ALLAH SWT yang akan diturunkan azab,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut PU Amin, anak autisme atau OKU berkenaan juga tidak diberikan sebarang dosa, keburukan dan beban kepadanya untuk melakukan ibadat berbeza dengan individu normal yang lain.

“Hadis ada menyebut bahawa malaikat tidak menulis keburukan tiga golongan iaitu orang yang tidur sehingga dia bangun, bayi sehingga dia baligh dan orang cacat dari segi mental atau kehidupannya sehingga dia berakal.

“Melalui hadis ini, kita dapat faham orang ditimpa musibah atau ujian tidak perlu berasa susah kerana di akhirat yang kehidupan lebih panjang, anak-anak ini tidak menanggung apa-apa kesalahan seperti kita,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!