Jangkitan kuman ketika hamil punca autisme

Jangkitan kuman semasa kehamilan antara salah satu faktor berlakunya austime kepada bayi. Gambar hiasan 123rf
Jangkitan kuman semasa kehamilan antara salah satu faktor berlakunya austime kepada bayi. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Jangkitan kuman semasa kehamilan antara salah satu faktor berlakunya austime atau Autism Spectrum Disorder (ASD) kepada bayi yang dilahirkan.

Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Profesor Madya Dr Intan Hakimah Ismail berkata, satu kajian meta-analisis pada 2016 menunjukkan jangkitan yang berlaku terhadap wanita hamil meningkatkan risiko ASD kepada bayi sebanyak 12 peratus.

“Risiko ASD semakin meningkat apabila jangkitan berlaku pada sistem saluran air kencing dan kulit, masing-masing dengan peningkatan risiko sebanyak sembilan serta 14 peratus,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau memaklumkan, risiko autisme akan meningkat jika ibu hamil mengambil ubat seperti antidepresi, sawan atau epilepsi, berpenyakit seperti diabetes, hipertensi, proteinuria, preeklampsia, pernah keguguran dan melahirkan bayi pramatang.

“Individu yang mempunyai sejarah keluarga ASD juga berisiko di mana beberapa kajian membuktikan apabila salah satu kembar identikal mempunyai autisme, kembar lain turut mempunyai peluang 80 peratus untuk mendapat keadaan sama,” katanya.

Tambah Intan, pada masa ini diagnosis ASD dilakukan melalui pemeriksaan dan penilaian perkembangan kanak-kanak selepas kelahiran.

“Namun kajian terkini menunjukkan ujian rutin ultrasound pada trimester kedua kehamilan dapat mengenal pasti tanda-tanda awal ASD.

“Bagaimanapun ini terlalu awal untuk diberikan saranan. Penyelidikan perlu diteruskan bagi mencari kaedah terbaik untuk diagnos ASD lebih awal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menjelaskan definisi autisme dari sudut perubatan, Pakar Kanak-Kanak dari Hospital Islam Az-Zahrah, Dr Siti Sarah Aishah Suhaidi berkata, ASD adalah kecelaruan yang berlaku di dalam perkembangan otak, dari bayi sehingga dewasa yang mengganggu komunikasi, sosial interaksi dan perbuatan.

Justeru katanya, golongan autisme akan mempamerkan tingkah laku unik iaitu mereka akan mengulangi kelakuan dan sangat obses dengan sesuatu perkara.

“Biarpun kanak-kanak lelaki lebih cenderung memperolehnya tiga kali ganda berbanding perempuan, namun kanak-kanak perempuan kebiasaannya lambat didiagnosis berbanding lelaki,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Siti Sarah Aishah berkata, punca sebenar autisme belum dapat dikenal pasti namun risiko mendapat anak autisme itu antaranya bayi yang dilahirkan tidak cukup oksigen, pramatang serta sejarah genetik keluarga.

“Selain itu faktor usia ibu bapa juga menjadi penyebab mendapat anak autisme iaitu wanita berusia 35 tahun ke atas, lelaki berumur 40 tahun ke atas dan kedua-dua faktor ini boleh merisikokan mereka memiliki anak autisme.

“Bagi wanita 35 tahun ke atas berpeluang 1.3 kali ganda ke arah ini (memperoleh anak autisme) berbanding wanita bawah 30 tahun, umur 40 tahun ke atas (dua kali ganda),” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!