Gol Hjulmand tangguh hasrat England

Hjulmand. Foto Agensi
Hjulmand. Foto Agensi
A
A
A

HASRAT naib juara England untuk mara awal ke pusingan 16 Euro 2024 tertangguh apabila sekadar meraih keputusan seri 1-1 menentang Denmark dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Frankfurt.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Deutsche Bank Park, Frankfurt itu, kedua-dua pasukan tampil dengan satu misi iaitu tiga mata.

England kendalian Gareth Southgate menampilkan kesebelasan terbaik The Three Lions sebelum itu bermula langkah kanan menewaskan Serbia, 1-0.

Denmark asuhan Kasper Hjulmand pula tidak kurang hebat menurunkan rangkaian mesin gol Danish Dynamite selepas terikat 1-1 berdepan Slovenia di Stadium MHP Arena, 17 Jun lalu.

Bintang sensasi kelab Bundesliga Jerman, Bayern Munich, Harry Kane meletakkan Three Lions memimpin permainan dengan gol minit ke-18.

Bagaimanapun pemain tengah kelab liga Portugal, Morten Hjulmand kembali memastikan impian untuk juara edisi Sweden 1996 itu pergi lebih jauh tidak padam dengan gol penyamaan padu minit ke-34.

Separuh masa kedua, Denmark memiliki tiga percubaan ke sasaran, namun gagal menggoyangkan penjaga gol Jordan Pickford yang beraksi untuk kelab Liga Perdana Inggeris, Everton.

England pula hampir menjaringkan gol kemenangan menerusi bintang Manchester City, Phil Foden, namun percubaannya menemui tiang gol.

Artikel Berkaitan:

Keputusan menyaksikan England masih mengungguli Kumpulan C dengan empat mata, diekori Denmark kedua dengan dua mata, Slovenia ketiga dan Serbia tercorot.

Anak buah Southgate akan berdepan Slovenia di Stadium Rhein Energie Stadion manakala Denmark melayan Serbia di Stadium Allianz Arena dalam aksi terakhir Kumpulan C pada 26 Jun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!