Bunga Raya 15s perlu tampil berdisiplin di Dubai
PENGENDALI skuad ragbi 15 sebelah (15s) negara, Mohd Farid Syazwan Abu Bakar menuntut disiplin pemain Bunga Raya apabila berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan terakhir Kejuaraan Ragbi Asia 2024 di The Sevens Stadium, Ud al-Bayda, Dubai pada 21 Jun ini.
"Cabaran utama pasukan kebangsaan selepas dua perlawanan adalah untuk mengekalkan konsistensi dan keupayaan menyerap tekanan tinggi pasukan lawan.
"Pengukuhan dua aspek ini amat penting bagi memudahkan pergerakan pasukan negara dalam menyerang dan bertahan.
"Jadi saya berharap berdepan UAE pemain-pemain dapat menyerap tekanan selain menggunakan peluang sehabis baik utk mendapatkan mata," katanya kepada Sukan Sinar.
Selepas tewas 5-55 kepada Korea Selatan diikuti 6-70 di tangan juara bertahan Hong Kong, anak buah Farid Syazwan yang kini menduduki tangga tercorot akan berdepan UAE yang menang ke atas Korea Selatan 36-32 di The Seven Stadium, 9 Jun lalu.
Ditanya sama ada pemain Bunga Raya 15s masih belum mengeluarkan potensi diri masing-masing dalam dua perlawanan awal, Farid Syazwan berkata: "Sejujurnya pada saya tiada istilah pemain-pemain gagal keluarkan apa yang jurulatih harapkan daripada mereka.
"Sebaliknya mereka sedang beradaptasi bermain dengan beri saingan kepada yang pasukan ragbi terbaik Asia."
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!