Seram, menakutkan di Rumah Puaka Nusantara

Pengunjung yang hadir ke rumah hantu boleh mendapatkan karya seram sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung. (Gambar kecil: Anis Syamila) Foto Sinar Harian-MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Pengunjung yang hadir ke rumah hantu boleh mendapatkan karya seram sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung. (Gambar kecil: Anis Syamila) Foto Sinar Harian-MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Rumah Puaka Nusantara Buku Prima bakal menjadi tarikan utama untuk menguji keberanian pengunjung terutama penggemar genre seram yang hadir ke Karnival Rakyat Karangkraf bermula 26 hingga 28 Julai ini.

Penolong Pengurus Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Anis Syamila Abdul Halim berkata, harga tiket untuk memasuki rumah hantu itu hanya RM3 bagi setiap individu berusia enam tahun ke atas.

"Lebih istimewa, pengunjung yang membeli tiga tiket Rumah Puaka Nusantara Buku Prima berpeluang mendapat sekeping lagi tiket secara percuma. Pembelian tiket boleh dibeli secara walk-in sahaja, jadi datanglah beramai-ramai pada awal pagi.

"Rumah hantu akan bermula pada 9 pagi dan berakhir 5 petang setiap hari. Kami akan membuka slot setiap hari 200 tiket dalam satu jam bagi mengelakkan beratur panjang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Karnival Rakyat Karangkraf bakal membawa kelainan apabila mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan membabitkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat serta pentas rakyat.

Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah SinarPlus MakanFest, Fiesta Kucing Tomkraf, Jualan Rahmah, pertunjukan seni persembahan, permainan tradisional dan sukan kampung, hari kantin sekolah Sinar Bestari, demonstrasi badan unit beruniform serta cabutan bertuah.

Bagi pertandingan pula terdiri daripada dua kategori iaitu peringkat sekolah seperti tating lawi, tuju tin, dikir barat, sajak dan bercerita manakala bagi orang awam ialah busana tradisional cilik, autoshow motor klasik, pakaian tercantik Tomkraf serta sukaneka kampung.

Tambah Anis Syamila, aktiviti rumah hantu selari dengan objektif menarik lebih ramai peminat genre seram.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Rumah Puaka Nusantara Buku Prima berkonsepkan hantu tradisional Malaysia seperti puntianak, pocong, nenek kebayan, langsuir dan sebagainya.

"Ia pasti menyeramkan, berbaloi dengan caj yang dikenakan. Jadi bersedia mental dan fizikal sebelum masuk. Kanak-kanak yang bawah usia enam tahun wajib ditemani ibu bapa untuk masuk.

"Mereka yang hadir ke rumah hantu juga boleh mendapatkan karya seram sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung," katanya.

Karnival Rakyat Karangkraf akan dianjurkan pada 26 sehingga 28 Julai ini bermula jam 9 pagi hingga 7 malam di Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.

Penganjuran program berkenaan adalah sempena ulang tahun ke-18 Sinar Harian selain meraikan keunikan warisan budaya Malaysia serta memberikan penghargaan kepada pembaca setia akhbar tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!