Lelaki rugi RM217,000 terpedaya pelaburan kripto tidak wujud

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

BATU PAHAT - Impian seorang lelaki menjana keuntungan besar musnah apabila wangnya berjumlah RM217,000 lesap akibat terpedaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa seorang warga tempatan berusia 54 tahun mula tertarik dengan pelaburan mata wang digital tersebut setelah berurusan dengan seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi My Jodoh.

Menurutnya, suspek telah memberikan pautan web 'member.101quantum.com' kepada mangsa yang kemudiannya telah memberikan butiran maklumat diri serta e-mel di platform tersebut.

"Suspek menawarkan pelaburan yang menjanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus daripada modal yang dilaburkan dengan modal minimum sebanyak RM500.

“Mangsa yang berminat dengan pelaburan berkenaan telah memasukkan modal sebanyak RM10,500 ke dalam dua akaun bank berbeza pada 8 dan 9 Jun 2024," katanya.

Shahrulanuar berkata, mangsa kemudian membuat semakan di akaun kripto miliknya dan mendapati keuntungan dijana sebanyak RM12,222.82, bagaimanapun suspek meminta mangsa untuk melabur lagi jika mahu keuntungan yang lebih besar.

"Mangsa telah membuat pindahan wang dengan jumlah keseluruhan RM217,000 ke tiga akaun bank berbeza secara berperingkat antara tempoh 8 hingga 14 Jun lepas, namun apabila mahu mengeluarkan semua keuntungan, dia diberitahu oleh suspek bahawa akaun kripto miliknya telah disekat dan mangsa perlu membayar RM225,000 lagi bagi membuka semula akaun tersebut.

“Mangsa bagaimanapun tidak berbuat demikian kerana mula curiga dan merasakan dirinya telah ditipu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam masa sama beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang promosi pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

Orang ramai boleh melayari laman sosial facebook @jsjkpdrm dan cybercrimealertmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersial.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!